Wednesday, November 5, 2008

PENDAFTARAN MURID BARU TELAH DIBUKA

Pendaftaran murid baru PASTI telah dibuka. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia 4, 5 atau 6 tahun pada 2009 bolehlah hubungi mana-mana PASTI yang berhampiran untuk mendaftarkan anak tuan/puan dengan segera.

Untuk makluman semua, kami telah mendengar beberapa pengalaman waris yang pada awalnya menghantar anak mereka untuk belajar di PASTI selama setahun, dan tahun kemudiannya mereka menghantar anak mereka di sekolah pra sekolah. Ternyata selepas itu mereka menyatakan bahawa memang terdapat perbezaan dari segi perkembangan mental mereka. Waris tersebut telah menyatakan kesan pembelajaran di PASTI amat berkesan dengan bacaan, hafazan doa dan surah, kiraan, bahasa arab, akhlak, ibadah dan sebagainya.




jangan ketinggalan. Fikirlah... demi masa depan anak kita, keturunan kita, bangsa kita, negara kita dan sudah pasti lah demi menjaga kesucian agama Islam yang kita cintai ini...

Tidak semestinya kita perlu keluarkan modal yang lebih untuk mendapat sesuatu yang lebih berkualiti.

Wednesday, October 22, 2008

MAJLIS UJIBAKAT PASTI

Tahniah kepada semua guru yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program majlis Ujibakat PASTI peringkat negeri Kedah yang telah berlangsung pada 18 Oktober 2008 di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Alor Star.

Terdapat beberapa acara yang telah dipertandingkan. Antaranya adalah pertandingan azan dan doa, pertandingan pidato, sajak, khutbah, bercerita kisah al-quran, hafazan surah dan doa harian.

PASTI Kawasan Kubang Pasu hanya menghantar wakil bagi acara seperti berikut:

1. Azan - Mohd Anuar bin Saidin
2. Sajak - Maisarah binti Mohd Fazil
3. Cerita kisah dari Al-Quran - Shawrah Nabihah binti Ali
4. Pidato - Nurul Rosniza binti Che Asmadi
5. Hafazan Surah - Ku Mariyam binti Ku Abdul Hamid

Tahniah diucapkan kepada guru-guru dan murid-murid PASTI yang telah memberikan komitmen dan kerjasama.

Bersedialah pula untuk menghadapi Majlis Ujibakat PASTI peringkat Pusat di Sri Mentalun pada 31 okt hingga 1 nov 2008.

Sunday, October 12, 2008

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAN AKHIR

alhamdulillah.. bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah mengizinkan kita menghirup udara-Nya yang nyaman tanpa sebarang bayaran dikenakan.

Sepanjang tahun ini, kita telah diuji dengan pelbagai dugaan dan cubaan. Dan akhirnya ternyata kita tabah menghadapinya dan mengharunginya sehingga akhir tahun tanpa rungutan dan keluhan. Ini lah dia satu perjuangan seorang guru yang sanggup menerima tekanan dari pelbagai pihak, sama ada dalam atau luaran, demi untuk membuktikan yang pendidikan Islam inilah perlu dijadikan pilihan pertama setiap ibu bapa untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada kehidupan sebenar.

Itulah sifat Allah. Dia akan memberi ujian kepada orang yang Dia suka. Jika lulus ujian tersebut, maka darjatnya akan ditingkatkan lagi.

Setelah kita mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan sepanjang tahun ini, kini tibalah masanya anak-anak PASTI negeri Kedah akan menduduki peperiksaan akhir iaitu pada 13hb hingga 16hb Oktober 2008.

Peperiksaan ini akan memberikan penilaian bukan sahaja kepada anak-anak kita, tetapi juga kepada guru-guru yang mengajar. Inilah waktu yang mana para guru perlu mengambil kesempatan untuk muhasabah diri dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang tahun ini, sama ada kaedah yang dilaksanakan adalah sesuai atau kurang sesuai atau pun tidak sesuai.

Bagi guru-guru yang menghadirkan diri ke kursus-kursus yang disediakan oleh PASTI Negeri atau Pusat, dan mengamalkan ilmu yang dipelajari, maka sudah tentu bukan menjadi masalah kepada guru tersebut untuk mengajar bakal-bakal ulamak profesional ini, malah semakin lama mengajar semakin seronok dan bersemangat lagi untuk berjumpa dengan anak-anak ini.

Marilah kita bersama-sama tingkatkan kualiti kaedah pengajaran kita supaya kualiti anak-anak PASTI ini dapat dipertingkatkan seterusnya menjadi model kepada pusat-pusat asuhan pra sekolah yang lain dalam kaedah pengajaran dan pembelajarannya.

Akhir sekali marilah kita memberikan semangat dan berdoa, agar anak-anak kita dapat menjawab peperiksaan dengan baik, sebagai mana baiknya kita mendidik dan mengasuh mereka.

Dan ingatlah, lahirnya generasi yang bertaqwa, kitalah pemangkinnya.

Tuesday, September 2, 2008

SUKANEKA EKSPO RAKYAT SEJAHTERA

Setinggi2 tahniah diucapkan kepada Majlis Guru Pasti Kubang Pasu dengan kerjasama Dewan Muslimat Kubang Pasu diatas kejayaan menganjurkan sukaneka bersempena Ekspo Rakyat Sejahtera yang telah berlangsung pada 28hb, 29hb dan 30hb Ogos 2008 yang lalu.


Majlis sukaneka yang dijalankan pada sebelah pagi pada 30hb Ogos telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh penduduk tidak mengira bangsa dan agama.




Majlis tersebut telah berlangsung seawal 8.30 pagi dan tamat pada jam 1.00 tengahari itu telah menunjukkan kejayaan, keazaman dan kesungguhan guru-guru PASTI kawasan Kubang Pasu dalam menjayakan misi yang telah diamanahkan oleh jawatankuasa Memperkasakan PAS Kubang Pasu (PERKASA).




Antara acara yang dijalankan adalah seperti pertandingan mengisi air dalam botol dengan span, bawa bola ping pong dengan sudu dan tiup belon sampai pecah. Aturcara pada pagi tersebut ditamatkan dengan dua acara yang berjalan serentak iaitu pertandingan mewarna bagi kategori 7 hingga 9 tahun dan pertandingan melukis bagi kanak-kanak 10 hingga 12 tahun.

Tahniah sekali lagi buat semua guru-guru PASTI Kawasan Kubang Pasu dalam menjayakan aturcara yang telah dirancangkan dengan jayanya.

Wednesday, May 28, 2008

HARI GURU PASTI NEGERI KEDAH 2008


23hb Mei 2008, semua guru-guru PASTI seluruh negeri Kedah telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru PASTI peringkat negeri Kedah yang bertemakan "Guru Pendidik Sepanjang Zaman" yang telah diadakan di Dewan Seri Mentalun, kediaman rasmi Menteri Besar Kedah.

Majlis telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Abdullah Jusoh ( Exco Pendidikan Negeri Kedah ).

YB Abdullah Jusoh


Semua kawasan telah menghantarkan wakil yang terdiri dari guru-guru, pengerusi pasti kawasan, cawangan dan juga ajk-ajk pasti bagi menjayakan majlis tersebut.

Para hadirin sedang mendengar ucapan perasmian Exco Pendidikan Negeri Kedah

Majlis telah bermula jam 9.00 malam dan dimulakan dengan bacaan al-Quran (Surah Ar-Rahman) oleh adik Mohd Hafiz berumur 7 tahun. Beliau adalah bekas pelajar PASTI Mergong.
PASTI Kubang Pasu juga tidak ketinggalan menghantar guru-gurunya untuk mendengar amanat dari Pengarah PASTI Negeri dan juga Exco Pendidikan Negeri kedah pada malam tersebut. PASTI Kubang Pasu mengucapkan terima kasih kepada guru-guru PASTI Kawasan Kubang Pasu kerana memberikan komitmen untuk hadir sempena hari menghargai jasa guru ini.



Majlis malam tersebut juga diserikan dengan persembahan nasyid yang dibawakan khas dari Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU). Walaupun hanya 3 orang dari 10 orang ahlinya yang dapat hadir malam tersebut, ternyata mereka mampu menyampaikan persembahan yang sungguh mantap. Tahniah kami ucapkan.

Sebelum majlis berakhir, penyampaian anugerah tokoh guru telah disampaikan oleh YB Abdullah Jusoh. Calon tokoh guru dari Kubang Pasu adalah Pn Zamalati yang mengajar di PASTI Ihya Ulumuddin, Changlun. Beliau merupakan salah seorang guru yang telah lama berkhidmat mendidik anak-anak PASTI tanpa rasa jemu dan merupakan seorang yang sungguh penyabar dan tekun dalam melakukan segala tugas. Beliau juga merupakan Pengerusi MGP Kawasan Kubang Pasu.

Namun, Kubang Pasu dikatakan tiada rezeki pada tahun ini kerana tidak mendapat Tokoh Guru PASTI.
Majlis pada malam itu telah tamat jam 11 malam dengan sesi bergambar semua calon tokoh guru negeri kedah bersama para VIP.

Thursday, May 22, 2008

SELAMAT HARI GURU

PASTI Kawasan Kubang Pasu mengucapkan selamat menyambut Hari Guru pada tahun 2008 kepada semua warga pendidik di mana jua anda berada. Ucapan ini ditujukan terutamanya kepada guru-guru PASTI amnya dan PASTI Kubang Pasu khususnya di atas segala usaha dan dedikasi kalian dalam mengajar dan mendidik anak bangsa menuju keredhaan Allah.

Para guru sekalian. Profesional guru merupakan satu pekerjaan yang paling mulia. Ini adalah kerana Allah meninggikan darjat seseorang itu dengan tinggi ilmunya dan Rasulullah SAW pernah bersabda. Antara lain maksudnya "jika kamu inginkan dunia, mestilah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, mestilah dengan ilmu. Jika kamu inginkan kedua-duanya, mestilah dengan ilmu." Maka dengan ini, layaklah seorang guru yang tugasnya menyampaikan ilmu ditinggikan kemuliaannya di sisi Allah.

Tugas sebagai guru memang mancabar. Apatah lagi menjadi guru di PASTI, dengan pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi, gaji yang sedikit, tiada bantuan dari kerajaan, sudah pastilah mereka yang tiada perkataan "Lillahi taala" di dalam hatinya akan berasa kecewa dan berputus asa. Lihatlah kegigihan dan kecekalan hati guru-guru PASTI kita, walaupin menerima gaji yang serendah RM 150.00 sebulan, demi mengerjakan tugasnya dengan penuh ikhlas, menjadikan ia satu ibadah yang sungguh mulia dan agung yang tiada tandingannya. Inilah puncanya mengapa anak-anak didikan PASTI yang menerapkan kebesaran Allah dan menjadikan diri setiap mereka seorang yang cemerlang di dunia bahkan juga di akhirat kelak menjadi seorang yang sungguh beruntung dan memiliki cinta Rabbul Jalil.

Para guru sekalian, ingatlah! Kalian mendidik seorang anak manusia biasa dan natijahnya, kebesaran Allah ditanam di dalam hati-hati mereka. Kalian mengenalkan mereka dengan RAsul-rasul kekasih Allah, kalian mengenalkan mereka dengan para malaikat dengan pelbagai jawatan, kalian mengenalkan mereka dengan kitab Allah yang teragung, dan kalian mengenalkan mereka dengan ketentuan qadak dan qadar yang mesti diterima walaupun manis ataupun pahit. Kesemua ini adalah asas-asas agama yang suci, Islam, tiada yang lebih tinggi darinya yang tidak dapat mereka pelajari di mana-mana pra sekolah yang yurannya serendah PASTI.

Sekali lagi kami mengucapkan SELAMAT HARI GURU. Jasamu bukan hanya kepada anak-anak PASTI, namun jasamu adalah kepada kebangkitan Islam disebelah timur seperti yang telah dijanjikan oleh Rasulullah yang akan berlaku di akhir zaman. Terima Kasih guru...

Monday, May 12, 2008

Makanan Segera Antara Punca Kegemukan Kanak-Kanak


MAKANAN segera atau fast food sering menjadi pilihan kanak-kanak apabila mereka dibawa keluar sama ada untuk bersiar-siar atau membeli-belah. Pastinya, restoran makanan segera menjadi pilihan utama, apatah lagi jika set makanan itu turut menyediakan permainan.

Namun, ibu bapa sepatutnya mendidik dan melatih anak mereka supaya mengamalkan diet seimbang, iaitu mengambil semua jenis makanan yang membekalkan karbohidrat, protein, fibre atau serat dan kalsium.

Tidak dinafikan memang sukar bagi ibu bapa mengawal pemakanan anak-anak, terutama bagi mereka yang berusia di antara lima hingga 10 tahun.

Perunding Pemakanan Mont Kiara Medical City di Kuala Lumpur City Centre, Farah DiBa Khan, berkata pengambilan makanan segera perlu dihadkan seminggu sekali kerana ia tidak membekalkan diet seimbang.

Beliau berkata, makanan segera banyak mengandungi lemak dan diet seumpama itu tidak berkhasiat kepada kanak-kanak yang sedang membesar kerana dikhuatiri mereka akan mengalami masalah kegemukan pada kemudian hari.

Makanan segera selalunya tidak mengandungi serat manakala kandungan gula dan garam pula tinggi.

“Sebaik-baiknya hadkan pengambilan makanan segera seminggu sekali kepada anak. Sebagai ibu bapa, anda perlu melatih dan mendidik mereka supaya tidak kerap mengambil makanan segera sejak peringkat awal lagi.

“Memang sukar untuk melatih mereka mengamalkan diet seimbang dan berkhasiat dan ini mungkin mengambil masa. Selalunya tarikan utama kanak-kanak terhadap makanan segera adalah permainan yang turut dijual di dalam setiap set makanan kanak-kanak,” katanya.

Ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini, Farah DiBa berkata, makanan mempunyai fungsi penting dalam kehidupan dan pertumbuhan setiap kanak-kanak.

Lazimnya, burger, kerepek kentang, sosej dan nuget ayam sering menjadi pilihan walhal semua makanan itu boleh dibuat dan dimasak sendiri di rumah.

“Justeru, jika ada masa terluang, ibu-ibu boleh membuat sendiri burger, sosej, kerepek kentang dan nuget ayam. Ini jauh lebih baik kerana selalunya apabila makanan itu dimasak sendiri, tiada bahan pengawet dan perasa yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, selain pengambilan makanan segera, ibu bapa juga tidak berpeluang memantau pengambilan pelbagai jenis makanan yang kurang berkhasiat pada anak-anak ketika di sekolah.

Kantin sekolah pula selalunya lebih banyak menyediakan makanan bergoreng dan berlemak dan ini sekali gus menjadikan pengambilan makanan anak-anak tidak seimbang dan berkhasiat.

“Sebaik-baiknya, sediakan bekalan dari rumah untuk ke sekolah. Ini bukan saja dapat mengajar anak itu berjimat cermat tetapi mendidik mereka supaya mengamalkan diet yang lebih baik. Bagaimanapun, seminggu sekali beri wang saku kepada mereka untuk membolehkan mereka berbelanja di sekolah pula.

“Sebagai ibu bapa, anda perlu bijak menyediakan bekalan makanan untuk anak. Pelbagaikan makanan yang dibekalkan, contohnya, sandwic sardin, pau kukus, sandwic telur, sandwic tuna dan mi goreng.

“Pastikan menu bekalan itu berubah setiap hari kerana dikhuatiri anak akan cepat bosan jika anda menyediakan makanan yang sama saban hari,” katanya.

Farah DiBa berkata, anak juga jarang atau sukar mengambil sarapan dan keadaan ini kadangkala menyebabkan ibu bapa buntu memikirkan makanan terbaik untuk anak mereka sebelum melangkah ke sekolah.

Jika kanak-kanak kurang selera untuk makan, pastikan mereka minum segelas susu rendah lemak untuk mengalas perut sebelum ke sekolah. Susu rendah lemak perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak apabila mereka berusia lima tahun.

“Apabila anak anda sudah mencapai usia lima tahun, sebaik-baiknya, perkenalkan kepada mereka makanan dan minuman rendah lemak sebagai satu daripada langkah mencegah kegemukan.

Berdasarkan kajian, alasan yang sering diberikan kerana mengabaikan sarapan ialah tidak cukup masa dan kurang selera.

Malah, hanya kira-kira 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah didapati tidak bersarapan biarpun ia amat penting sebelum memulakan kegiatan harian.

Katanya lagi, selain mendidik anak terhadap pemakanan seimbang dan berkhasiat, ibu bapa juga digalakkan supaya mengajar anak-anak mereka bersenam sejak kecil lagi untuk memastikan mereka tidak mengalami masalah kesihatan, termasuk kegemukan.

Mengikut kajian, hanya 24 peratus kanak-kanak terbabit dalam kegiatan fizikal seperti berbasikal, bermain badminton dan berlari.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah 76 peratus daripada mereka lebih menumpukan perhatian terhadap kegiatan yang tidak memerlukan pengeluaran peluh seperti menonton televisyen.

Makanan yang sering diambil oleh kanak-kanak untuk sarapan?

- Roti (21 peratus).

- Nasi lemak (15 peratus).

- Nasi goreng (14 peratus).

- Kuih-muih (13 peratus).

- Roti canai (sembilan peratus).

- Mi dan telur (masing-masing lapan peratus).

- Bijirin (tujuh peratus).

- Goreng pisang (tiga peratus).

- Lain-lain (dua peratus).

Farah DiBa berkata, pengambilan makanan tidak seimbang dan tidak bersenam adalah dua faktor yang meningkatkan risiko kepada kanak-kanak untuk berdepan dengan masalah kegemukan selain genetik.

Justeru, beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga bermasalah kegemukan, perlu memandang berat pengambilan makanan di kalangan anak mereka sejak dari kecil.

“Ini kerana, katanya, kanak-kanak yang gemuk sejak kecil akan terus menjadi gemuk apabila dewasa walaupun tidak 100 peratus daripada mereka akan berterusan berkeadaan begitu. Namun, amat kurang kanak-kanak gemuk akan menjadi kurus apabila mereka meningkat dewasa,” katanya
--------------------------------------------------------------------------------
SUMBER: BERITA HARIAN 10.4.08 (Raihanah Abdullah)

Thursday, April 24, 2008

PERSIAPAN HARI SUKAN PASTI KAWASAN KUBANG PASU 2008

Bermacam persiapan sedang dilakukan dalam merealisasikan Hari Sukan PASTI Kawasan Kubang Pasu bagi tahun 2008 ini. Ini adalah kali pertama Hari Sukan PASTI Kawasan Kubang Pasu diadakan setelah beberapa tahun tidak dijalankan. Mengikut perancangan dan ketentuan dari mesyuarat Pemuda Kawasan dan guru-guru PASTI, Hari Sukan tersebut adalah seperti berikut :
Tarikh : 1 Mei 2008 ( Khamis )
Masa : 8.00 pagi hingga 1.00 ptg
Tempat : Markaz Tarbiyah Pas, Kg Pulau Pisang
Acara : Bola sepak, Bola jaring dan Sukaneka

kepada sesiapa yang berkelapangan, sila lah hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

Sunday, March 30, 2008

Benarkah kita mencintai dan menjadikan Nabi s.a.w sebagai ikutan?

Pertama kali diucapkan selamat menyambut hari kelahiran baginda Rasulullah s.a.w kepada semua kaum muslimin dan muslimat, semoga sambutan kali ini memberi nafas baru kepada kita untuk menjadikan segenap ajaran baginda inspirasi menuju kecemerlangan hakiki.

Namun apa yang perlu diutarakan kepada sidang pembaca setia harakahdaily.net, ialah satu persoalan yang mungkin tidak terlintas dalam pemikiran kita semua, berhubung kebenaran kecintaan dan ikutan kita terhadap baginda Rasulullah s.a.w

Isu perarakan yang dilakukan pada awal pagi 12 Rabiulawal saban tahun seolah-olah menggambarkan bahawa rakyat Malaysia yang beragama Islam menunjukkan kesungguhan mereka untuk mencintai Rasulullah, tetapi apakah benar mereka mencintai Rasulullah setelah selesai melakukan perarakan?.

Sesungguhnya kecintaan terhadap Rasulullah tidak terhenti pada majlis perarakan, kalau itu yang berlaku, ia bermakna tidak ada perbezaan dengan tindakan Abu Lahab (Pak Cik Nabi) setelah mengetahui bahawa Rasulullah diputerakan, lantas beliau mendakap jasad baginda yang mulia dan membawanya mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan (serupa amalan tawaf mengelilingi Kaabah). Image

Tetapi apa yang terjadi kepada Abu Lahab setelah baginda meningkat dewasa dan dilantik pula menjadi Rasul terakhir, beliaulah orang yang paling keras menentang kebenaran yang dibawa oleh anak saudaranya sendiri.

Inilah yang terjadi kepada kebanyakan umat Islam dalam negara kita, pada waktu pagi berarak, dan di waktu petang hari melakukan tindakan yang menentang Islam dengan penganjuran program maksiat seperti membenarkan konsert Akademi Fantasia 6 disiarkan menerusi Astro dua hari selepas berarak (22 Mac 2008).

Tidakkah golongan seperti ini perlu memerhatikan ayat Allah menerusi surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud: Katakanlah Wahai Muhammad (kepada umatmu) Jika kamu cintakan Allah, maka ikutlah aku, pasti Allah cinta kepada kamu.

Dalam ayat 21 surah al-Ahzab, Allah menegaskan bahawa: Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan ikutan yang baik. Sementara dalam ayat 8 surah as-Soff maksudnya: Dialah (Allah) mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dengannya dapat mengalahkan agama seluruhnya walaupun tindakan baginda itu tidak disukai oleh golongan orang-orang musyrikin.

Apabila kita merujuk kepada ketiga-tiga ayat di atas, yang menganjurkan kepada kita agar mencintai baginda, menjadikan baginda contoh teladan, membawa petunjuk ke jalan kebenaran, dan banyak lagi, tetapi adakah kita telah mengikut saranan ayat-ayat di atas.

Umat hari ini selepas berarak, mereka membenci sunnah-sunnah Nabi, sebagai contoh melantik para pemimpin yang tidak menjalankan hukum-hukum Allah sampai hari ini walaupun negara sudah merdeka lebih lima puluh tahun.

Mereka juga tidak menjadikan baginda Rasulullah s.a.w sebagai contoh dalam segenap aspek kehidupan sebagai muslim, ini termasuk dalam aspek pentadbiran negara, institusi kewangan, kemasyarakatan, persekitaran dan lain-lain, semuanya diikat dengan sistem Sekularisme, Kapitalisme dan lain-lain.

Malah mereka juga tidak yakin bahawa agama Islam adalah agama yang betul dengan prinsip rukunnya yang lima, hingga mencipta satu agama baru "Islam Hadhari" dengan prinsip yang sepuluh dengan pelbagai alasan.

Dalam Islam, perkataan Islam dan Iman tidak boleh dipisahkan bagaikan aur dengan tebing, jadi kalau ada Islam Hadhari, mestilah juga ada istilah Iman Hadhari, Islam Hadhari diterjemahkan dengan Islam yang bertamadun, ini menunjukkan ada lagi istilah Islam yang tidak bertamadun.

Inilah yang dikatakan bahawa kalau tidak mahu terima Islam sebenar, itu adalah haknya untuk menolak, tetapi jangan sampai mengajak orang ramai (rakyat) menentangnya juga.

Ingatlah apa yang pernah diungkapkan oleh Saidina Omar Bin al-Khattab: "Dulu kami adalah golongan yang hina kerana menolak Islam, kemudian Allah muliakan kami dengan Islam, tetapi apabila jika kami mencari kemuliaan selain daripada Islam, pasti Allah akan timpakan penghinaan atas diri kami". - mns

petikan Harakah Daily (21/3/08)

Ustaz Zainudin Hashim

Sunday, March 23, 2008

KENAPA AKU DIUJI ?

Setiap manusia akan diuji. Cuma bezanya adalah cara kita menerima ujian yang diberikan. Adakah kita redha, atau kita menjadi lupa bahawa diri kita adalah milik Tuhan sekalian alam.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." - Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAMKAN?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." - Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." - Surah Al-Baqarah ayat 286


RASA FRUST?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." - Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" - Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... - Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." - Surah At-Taubah ayat 129

Monday, February 18, 2008

Sepetang Bersama Dato Harun Din

PASTI Kawasan Kubang PASu berasa sungguh banggan dan berbesar hati dengan kehadiran Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato Dr Harun Din ke PASTI Al-Huda, Taman Mahsuri, Jitra, Kedah untuk bertemu masyarakat sekitar.


Masyarakat yang mengikuti perkembangan dan menghargai anugerah Allah akan 'masin'nya doa seorang ulama telah mengambil kesempatan membawa air untuk didoa untuk kesejahteraan dan kesihatan sekeluarga.


hadirin yang datang mendengar ceramah dan amanat beliau dianggarkan seramai 2 ribu orang dan telah memenuhi ruang padang berhampiran sehingga menyebabkan pihak penganjur meminta izin penduduk setempat untuk menutup jalan bagi melapangkan kawasan.





Wednesday, February 13, 2008

EDISI PERTAMA BLOG PASTI KEDAH

Alhamdulillah... syukur kepada Allah S.W.T yang telah mengizinkan wujudnya blog PASTI Kubang Pasu sebagai wadah menyampaikan dan berkongsi maklumat mengenai PASTI Kubang Pasu. Diharapkan dengan wujudnya blog ini, akan memudahkan sahabat-sahabat dari kawasan atau negeri lain dapat berkongsi pendapat dalam menjulang sistem pendidikan Islam di negara Malaysia yang tercinta ini.

Sebarang komen dan cadangan amatlah kami alu-alukan. Semoga sistem pendidikan Islam ini dapat diterima oleh semua peringkat masyarakat dan bangsa.