Thursday, December 9, 2010

GAMBAR SEKITAR BANTUAN PASTI NEGERI KEDAH


(Kiri: Pengerusi MGP Negeri Kedah turut serta mengecat bangunan PASTI yang dilanda banjir)
(Kanan: Dalam bilik darjah PASTI Al-Hidayah, Kg Alor Rambai)



(Kiri: Sdr Asyraf, Setiausaha PASTI Kedah dan rombongan MGP PASTI Negeri mendengar penjelasan penduduk mengenai kejadian banjir)
(Kanan: Rombongan disambut oleh penduduk dengan penuh kasih sayang)

Wednesday, December 8, 2010

BANTUAN PASTI NEGERI KEDAH

28 November 2010 - rombongan skuad bantuan PASTI Negeri Kedah telah turun ke PASTI Kawasan Kubang Pasu bagi membantu mana-mana PASTI dan guru PASTI yang telah ditimpa ujian banjir baru-baru ini. Rombongan yang diketuai oleh Setiausaha PASTI Negeri Kedah, Saudara Asyraf dan juga Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Negeri Kedah, Pn Jawariah telah sudi mengecat bangunan empat bangunan PASTI yang terlibat banjir :

PASTI Al-Fathonah, Lubuk Kawah
PASTI Al-Hidayah, Alor Rambai
PASTI Al-Mujahid, Tok Kesop
PASTI Al-Fitri, Kg Belukar

Terima kasih juga kerana sudi bagi bantuan kat cikgu2 yang rumah mereka dilanda banjir, siap beli tikar getah lagi. Tapi cadangnya hari tu nak pi ziarah PASTI Uwais Al-Qarni, Taman Tunku Sarina yang akan mula dibuka tahun 2011, tapi tak sempat. Memandangkan Pengerusi PASTI Kawasan Kubang Pasu pun ada kerja lain yang tak dapat dielakkan, maka rombongan diteruskan dan diiringi oleh Ketua MGP PASTI Kawasan Kubang Pasu, Pn Norzamalati dan ramai lagi guru-guru PASTI Kawasan Kubang Pasu yang lain.

Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Depa kata kalau lagu ni punya baguih, kena banjir tiap2 tahun pun tak pa, bleh cat baru bangunan PASTI tiap2 tahun. Tikar getah pun bleh tukar selalu.. hehehe

p/s: gambar2 akan di'up-load' kemudian kalau tak lupa..

Saturday, November 13, 2010

MAJLIS IHTIFAL PASTI PERINGKAT KAWASAN KUBANG PASU DIBATALKAN

Jabatan PASTI Kawasan Kubang Pasu memohon maaf kepada semua waris kerana pembatalan Majlis Ihtifal PASTI Kawasan Kubang Pasu yang telah sepatutnya dilaksanakan pada 6 November 2010 (Sabtu) bertempat di Dewan Kampung Tradisi Jalan UUM.

Keputusan ini dibuat kerana mengambil kira keadaan semasa para waris dan guru-guru yang baru-baru ini ditimpa bencana banjir terburuk setakat ini. Jabatan PASTI Kubang Pasu dimaklumkan bahawa masih ramai waris dan guru yang belum habis mencuci rumah daripada lumpur dan kerosakan perabot akibat daripada banjir tersebut. Oleh sebab itu, kami perihatin hari-hari minggu seperti ini diperlukan oleh setiap yang terlibat untuk mencuci dan mengemas rumah masing-masing.

Walaubagaimana pun, majlis Ihtifal boleh dilaksanakan diperingkat PASTI masing-masing mengikut kesesuaian keadaan.

Jabatan PASTI kawasan Kubang Pasu trurut merakamkan ucapan simpati kepada mangsa-mangsa banjir kedah 2010 terutamanya para guru dan waris yang terlibat. Sesungguhnya, ia merupakan suatu ujian daripada Allah bagi orang-orang yang beriman.

Tuesday, October 19, 2010

INSYAALLAH AKAN DIBUKA 2011

InsyaAllah 4 buah PASTI (baru dan pembukaan semula) akan dibuka pada tahun 2011 di :

1. PASTI Uwais Al-Qarni, Taman Tunku Sarina, Jitra
2. PASTI Fadzil Noor, Kg Kubang Betung, Napoh
3. PASTI Al-Irsyad, Kg Baru, Changlun
4. PASTI Teluk Gelam

Ini adalah atas permintaan dan kesungguhan masyarakat setempat juga jawatankuasa yang sayangkan PASTI dan melihat PASTI sebagai satu wadah perjuangan bagi membentuk akhlak dan peribadi muslim di kalangan generasi cilik yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Kepada sesiapa yang ingin menyumbangkan dana bagi membantu pihak pengurusan PASTI Kawasan Kubang Pasu, bolehlah disalurkan ke akaun

PASTI KAWASAN KUBANG PASU
BIMB: 02-039-01-005504-3

Ataupun kepada sesiapa yang ingin menyumbangkan kemudahan seperti kerusi meja, almari, papan putih, cat, keperluan kebersihan (penyapu, sabun, berus dsb), bolehlah menghubungi terus kepada talian 017-750 3536.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Tahun kepada semua anak-anak PASTI seluruh Malaysia, khasnya kepada anak-anak PASTI Kawasan Kubang Pasu. Semoga ilmu yang telah dicurahkan oleh guru selama ini dapat memberi panduan hidup ke arah jalan yang lurus di dunia untuk memperolehi redha Allah dunia dan akhirat.

Terima kasih kepada semua guru yang telah manabur bakti dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab demi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, bahkan cemerlang dari segi sakhsiah dan akhlak dan agama.

InsyaAllah, pelajar yang mendapat tempat pertama di setiap PASTI akan menduduki peperiksaan Pemilihan Anugerah Pelajar Cemerlang di peringkat kawasan dan seterusnya berkelayakan untuk ke peringkat negeri.

Saturday, July 24, 2010

KURSUS KOMPUTER UNTUK GURU PASTI

Guru-guru PASTI Kawasan Kubang Pasu telah menghadiri Kursus Asas Microsoft Word dan Internet pada 23 dan 24 Julai 2010 bertempat di Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Jitra Kedah. Pendedahan IT ini penting kepada guru-guru supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi.



Seramai 16 orang guru pasti Kawasan Kubang Pasu termasuk beberapa orang guru KAFA telah berjaya menamatkan kursus ini dengan cemerlang.



Mereka telah didedahkan dengan kaedah-kaedah menggunakan Microsoft Office dan Internet termasuklah penggunaan email yang akan dapat memudahkan proses penyebaran maklumat di kalangan PASTI di Kawasan Kubang Pasu.





Peserta lelaki tunggal...

Semoga kursus ini akan dimanfaat dan diaplikasikan dalam kehidupan harian sebagai seorang yang bergelar pendidik. Pihak Pasti Kubang Pasu bercadang akan menghantar guru-guru ke kursus tahap lanjutan di lain masa.

Terima kasih diucapkan kepada semua guru yang telah mengorbankan masa dan kepada pihak Kolej Komuniti Bandar Darulaman dalam menjayakan kursus ini.

Wednesday, May 19, 2010

KENAPA PASTI JADI PILIHAN?


PASTI ialah institusi pendidikan yang ditubuhkan sebagai pilihan kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam. Walaupun ia adalah pendidikan pra sekolah, PASTI tetap memainkan peranan yang penting dalam memberi alternatif pendidikan Islam kepada masyarakat. Visi PASTI cukup jelas iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh. Kurikulum PASTI dibangunkan untuk mencapai matlamat 5M iaitu membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamalkan ilmu yang dipelajari.

Pendidikan sejak di awal usia adalah penting, bagi memantapkan keimanan .Terdapat sesetengah penyokong jemaah Islam yang mengambil sikap mudah, tidak peduli di mana anaknya belajar, dengan siapa dia belajar kerana merasakan anaknya masih kecil. Nanti apabila besar akan diasuh dengan pendidikan Islam. Betulkah begitu? Bukankah kita diajar mengazankan apabila bayi dilahirkan, supaya kalimah pertama yang didengar ialah kalimah tauhid. Apakah maknanya ini semua, kalau bukan pentingnya mendidik seawal usia. Barangkali juga kita lupa, Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa anak seumpama kain putih maka ibubapanyalah yang mencorakkan samaada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Maka sepatutnya PASTI menjadi pilihan mandatori terhadap pendidikan pra sekolah anak-anak kita.

PASTI menetapkan Islam sebagai manhaj pendidikanya. Untuk mencapai matlamat pendidikan Islam iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh maka tiada pilihan lain selain daripada kurikulium Islam yang syumul. Tadika yang tidak mengambil manhaj Islam sebagai teras pendidikan tidak mampu membentuk anak yang beriman dan soleh kerana dasarnya bukan Islam. Mana mungkin sistem pendididkan yang lain daripada Islam akan membentuk peribadi Muslim yang beriman dan bertaqwa.

Hanya para pendiddik yang beriman dan beramal soleh akan melahirkan pelajar yang beriman dan beramal soleh. PASTI mempunyai guru – guru yang sememangnya sentiasa di bentuk melalui tarbiyyah jamaah seperti usrah, tamrin dan majlis-majlis ilmu bagi memantapkan ilmu, iman dan amal murabbi sendiri.. Di tangan merekalah, anak -anak kita diasuh. Guru yang tidak memahami Islam tidak dapat menjadikan anak- anak kita sebagai orang yang bertaqwa. Maka di atas alasan apakah kita menghantar anak-anak kita kepada mereka yang jahil hakikat tasawur Islam bahkan menentang perjuangan Islam.

Kesungguhan dan keikhlasan guru PASTI dalam mendidik menjadi satu aset yang besar kepada jemaah. Kecintaan mereka kepada perjuangan Islam sepatutnya sudah cukup bagi kita untuk menghantar anak-anak ke PASTI. Sungguh menghairankan , kita bersungguh –sungguh berjuang untuk menegakkan Islam tetapi pada masa yang sama membiarkan anak-anak kita dibentuk oleh orang lain , bahkan diajar oleh guru-guru yang menentang hukum Allah dan Rasul. Dimanakah rasionalnya kita? PASTI sentiasa mengadakan kursus –kursus profesionalisma perguruan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Cabaran pendidikan yang sentiasa berubah dan mencabar, didepani oleh PASTI dengan sewajarnya.

Masyarakat hari ini menghadapi cabaran kebendaan yang hebat. Setiap hari media massa menonjolkan gaya hidup yang mewah. Pemikiran umat Islam sentiasa diasak dengan kemajuan pembangunan kebendaan .Lantaran itu mungkin ada sebahagian daripada kita lebih mementingkan RM 300.00 setahun daripada pendiddikan Islam anak-anak kita. Ada sesetengah orang sanggup meninggalkan masjid dan surau yang selama ini hatinya tertambat , kerana diugut tidak akan diberi wang ihsan . Ada pula yang sanggup menjadi jahil sepanjang tahun dengan meninggalkan majlis-majlis ilmu yang selama ini ia menjadi murid setia. Kalaulah ini berlaku, di manakah nilai iman kita . Apa yang akan kita jawab dan persembahkan di hadapan Allah di akhirat nanti.?

Kita mesti menyatakan iltizam kepada jamaah melalui tindakan . Setiap program yang disusun oleh jemaah semestinya didukung dengan penuh rasa tanggungjawab. Rasa kecintaan kepada kepada jamaah dan institusi milik jemaah (masjid, surau, markaz, kelas pengajian) mestilah sentiasa disuburkan supaya terus segar. Kita perlu menanam keyakinan bahawa jamaah adalah milik kita.

Takbirr !!

Monday, May 17, 2010

HAPPY TEACHERS DAY


Sempena dengan Hari Guru 2010, PASTI Kawasan Kbg Pasu mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik, khasnya guru PASTI. Sebagaimana kita maklum, guru merupakan insan mulia, pencetus kejayaan umat serta pembina tamadun manusia yang berjaya. Kejayaan kita semua pada hari ini bermula dengan didikan guru yang sabar, tekun, ikhlas dan jujur mendidik anak bangsanya.

Tanpa guru, tidak mungkin negara dan rakyat mampu bergerak maju. Sememangnya kerjaya sebagai guru adalah sangat mulia dan mencabar. Meskipun berdepan dengan pelbagai kerenah dan tingkah laku pelajar yang pelbagai, ditambah dengan tekanan ibu bapa serta masyarakat sekeliling, para guru terus menuai bakti dan mencurah ilmu tanpa jemu. Sama ada mereka diingati atau dilupakan, setiap tahun tanpa kita sedari, para guru telah melahirkan orang-orang yang hebat seperti ulama’, tokoh akademik, para profesional, teknokrat, usahawan, tenaga-tenaga pakar mahir dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya sumbangan para pendidik yang bergelar guru tidak boleh dilupakan. Keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran mereka wajar diberikan pengiktirafan. Suara dan pandangan mereka perlu perlu dihormati, rungutan dan permintaan mereka perlu didengari, permasalahan mereka perlu diperhati. Inilah tanda penghomatan kita semua terhadap jasa dan pengorbanan para pendidik.

Akhir sekali, PASTI Kawasan Kbg Pasu mengharapkan para pendidik terus istiqomah, sabar dan jujur dengan dunia pendidikan. Dunia pendidikan adalah satu perjuangan dan jihad yang besar serta mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah SWT, dan hanya guru mampu mempelopori medan ini. Hari Guru perlu diraikan dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa para guru adalah insan mulia yang wajar dihormati.

Selamat Hari Guru Buat Semua Guru-Guru PASTI.


Thursday, May 13, 2010

KERJA 'O'




Assalamulaikum..

PASTI Kawasan Kbg Pasu mempelawa calon-calon yang memenuhi syarat-syarat di bawah untuk memohon jawatan sebagai guru PASTI :-

Syarat permohonan :

1. Muslimat berumur 18 tahun ke atas.
2. Mestilah berfikrah Islam, menutup aurat, sabar dan penyayang.
3. Berminat untuk menjadi pendidik.
4. Berkelulusan SPM/Thanawi/STPM/STAM
5. Mahir membaca Al-Quran & Jawi
6. Sanggup berkhidmat di mana-mana cawangan PASTI

Sesiapa yang berminat sila emelkan 'resume' kepada pastikp@gmail.com.

sekadar gambar hiasan :)

Tuesday, May 11, 2010

SELAMAT HARI IBU

Selamat Hari Ibu buat semua guru-guru PASTI


" Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (23) Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (24) Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat. " - Al-Isra' : 23-25

sekadar gambar hiasan

Ibu..
Di saat ku melihat dunia,
Kau tersenyum menangis gembira,
Tatkala ku dibesarkan,
kau berikan segunung kasih sayang,
Selaut belaian..

Ibu..
Akan ku gapai kejayaan biarpun tanah tak ku pijak,
Akan ku cari kejayaan untuk kau ibu,
Itu lah yang mampu membuatkan kau tersenyum gembira melihat ku,
Akan ku jadikan bunga-bunga di taman,
tempat lebah mencari madu,
Agar madu yang manis membuatkan hidupmu lebih bererti..

Ibu..
Pengorbananmu akan ku balas,
Pengajaranmu sentiasa jadi pegangan,
Biarpun ombak merobek dunia,
Kau tetap ibuku yang satu.

Sunday, May 9, 2010

Mengatasi Masalah Anak-Anak Yang Nakal, Degil Dan Suka Melawan Cakap Ibu Bapa

Saya terbaca satu post yang amat menarik untuk dikongsi bersama, iaitu mengenai ikhtiar untuk mendapatkan anak yang soleh.

Kebetulan saya pun bertugas sebagai tenaga pengajar dan saya dapati memang zaman sekarang perangai anak2 kita semakin menjadi2 akhir2 ini. Mungkin disebabkan pengaruh rakan sebaya, media massa (tv yang menayangkan adegan2 ganas, tahayul yang mengkurafatkan, adegan cinta yang dilarang islam, dengan adegan bercumbu2 dsb). Mungkin juga ini adalah disebabkan kesalahan kita sebagai ibu bapa yang tersilap dalam menyediakan acuannya pada masa lalu.

Bersamalah kita berkongsi apa yang ditulis oleh penulis blog di

http://darussyifasetiu.blogspot.com/2010/02/mengatasi-masalah-anak-anak-yang-nakal.html

Secara fitrahnya semua ibu bapa mahukan anak-anak yang menghormati ibu bapa, mentaati hukum agama, sentiasa menjauhi maksiat serta tidak terjebak dengan gejala sosial.

Pengalaman penulis di Darussyifa’ sering bertemu dengan ibu bapa yang mengadu tentang anak-anak mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti anak-anak yang lari dari rumah, bergaul dengan remaja yang rosak akhlak, berzina, menagih dadah, melawan ibu-bapa, kasar serta biadab dengan ibu bapa dan seumpamanya.

Ibu bapa yang datang ke Darussyifa’ ini meminta perawat mengikhtiarkan sesuatu supaya anak-anak mereka boleh dipulihkan. Di antara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah membaca doa-doa tertentu pada air seperti Surah al-Fatihah, Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5), Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyah, Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3) dan beberapa doa-doa yang lain. Air yang telah dibacakan dengan doa ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi.

Salah satu ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan memberi minum anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut;

1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.

2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air untuk mengambil wuduk.

3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.

4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.

5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.

6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.

7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dimasukkan ke dalam botol dan dicampurkan sedikit dengan air mineral atau air minuman yang lain.

8. Gunakan air tadi untuk memandikan anak-anak yang bermasalah. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.


Pencegahan Awal

Daripada pengamatan penulis serta kajian yang telah dibuat, lebih 90% ibu-bapa yang datang mengadu anak mereka bermasalah, apabila diperdengarkan doa berikut, mereka kata tidak pernah pun mendengar doa ini. Doa tersebut adalah seperti berikut;

Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.

Doa yang tersebut di atas adalah dipetik daripada hadis nabi

...bersambung di episod akan datang. Banyak lagi petua yang kadang2 kita terlepas pandang.

Saturday, May 1, 2010

01 MEI 2010

KERANA GURU PASTI JUGA PEKERJA :)

Pekerjaan merupakan asas kepada kehidupan setiap individu. Ia membolehkan seseorang itu menjadi penyumbang utama kepada masyarakat dan juga ekonomi negara di samping menyediakan kerperluan asas kepada ahli keluarga di bawah tanggungannya.

Dalam erti kata lain, adalah menjadi satu kewajipan, iaitu fardu ain bagi seorang ketua keluarga untuk mencari rezeki dengan bekerja bagi menampung kehidupan harian semua yang berada di bawah tanggungannya termasuk dirinya. Jika ini tidak dilakukan, maka individu itu dikatakan tidak melaksanakan tanggungjawabnya ke atas mereka yang berhak.

Di dalam konteks masyarakat pula, adalah menjadi kewajipan fardu kifayah bagi orang Islam untuk bergiat di dalam sesuatu kerjaya. Misalnya jika di dalam masyarakat berkenaan tidak ada orang Islam yang menjalankan sesuatu pekerjaan yang dianggap kritikal, maka adalah menjadi kewajipan bagi ahli masyarakat berkenaan untuk memastikan supaya ada orang Islam yang menceburi bidang itu. Ini adalah tanggungjawab masyarakat atau fardu kifayah..


Ciri yang paling utama di dalam menjadikan pekerjaan sebagai ibadah adalah niat. Niat adalah soal hati yang hanya diketahui oleh diri kita dan Allah swt. Jika sesuatu pekerjaan atau arahan kerja dilakukan secara ikhlas, insya-Allah pekerjaan kita itu akan diterima sebagai satu ibadah dan seterusnya akan diberi ganjaran oleh Allah swt.

Tidak kiralah apa jua pekerjaan anda samada tukang besi, penarek becha, penjual nasi lemak di tepi-tepi jalan, penoreh getah di kampung, kakitangan awam atau CEO syarikat, lakukakan kerja anda sebaik mungkin dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab.

Selamat Hari Pekerja untuk semua !!





Thursday, April 8, 2010

SUKAN PASTI NEGERI KEDAH

Program telah berlangsung pada 4 April 2010 di Padang Serbaguna Guar Chempedak dan dirasmikan oleh YB Dr Hj. Hamdan bin Mohamed Khalib , Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah.

Acara yang dipertandingkan adalah bola sepak dan bola jaring dari setiap kawasan negeri Kedah. Pertandingan dijalankan secara liga untuk melihat prestasi pemain untuk pemilihan mewakili PASTI negeri Kedah ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di USM Pulau Pinang bulan Mei ini.


Pasti Kubang Pasu pada tahun ini telah membuat persiapan yang lebih berbanding tahun-tahun sebelum ini. Jutaan penghargaan diberikan kepada Jurulatih-jurulatih bola sepak dan bola jaring iaitu Sdr Kaman Jaafar, Sdr Mohd Noh dan juga guru-guru yang mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan kontijen Kubang Pasu dilatih dengan sunggguh baik. Terima kasih juga kepada para waris kerana telah memberi kerjasama dan kepercayaan kepada PASTI Kubang Pasu untuk melatih anak-anak mereka.

Natijahnya pada tahun ini, PASTI Kubang Pasu telah menjadi sebutan kerana menjadi salah satu pasukan yang digeruni oleh pihak lawan. Keputusan menunjukkan bahawa pengorbanan dan latihan yang dilakukan selama beberapa hari ini tidak menjadi sia-sia kerana pasukan bola sepak PASTI Kubang Pasu telah mendapat tempat ke-2 dan pasukan bola jarig mendapat tempat ke-4 di peringkat negeri.

*gambar2 akan di'up-load' kemudian disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.


Wednesday, April 7, 2010

SUKAN PASTI KAWASAN KUBANG PASU 2010

Segala puji bagi Allah SWT kerana telah izinkan berlangsungnya temasya Sukan Pasti Kawasan Kubang Pasu bagi tahun 2010.


Majlis telah dilangsungkan pada 20 Mac 2010 bertempat di Taman Tema Tasik Bandar Darulaman, Jitra, Kedah. Terima kasih kami ucapkan kepada Dr Rohani selaku Ahli Majlis yang telah memberi sokongan untuk melaksanakan program tersebut di sana. Juga kepada pihak pentadbiran Taman Tema Tasik di atas kerjasama sepanjang perjalanan program tersebut.


Dengan kehadiran yang menjangkau 500 orang, program tersebut diklasifikasikan sebagai berjaya dengan bantuan Dewan Pemuda Pas Kubang Pasu, Sukarelawan Pemuda Pas Kubang Pasu, para waris, guru-guru dan Jawatankuasa PASTI Kawasan Kubang Pasu.


Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ustaz Rosli, dan dirasmikan penutupnya oleh Pengarah Pasti Negeri Kedah iaitu Ustaz Mohd Azam bin Samat. Dalam ucapannya berliau menekankan bahawa sistem pendidikan di PASTI tidak serupa dengan pendidikan di mana-mana pra sekolah. PASTI memberi penekanan aqidah, akhlak di samping bekalan mengenal asas-asas agama dan tidak meninggalkan aktiviti ko-kurikulum bagi menyihatkan tubuh badan.


Beliau juga menceritakan sedikit sebanyak sejarah PASTI sepanjang 25 tahun penubuhannya sehingga kini, telah menempuh pelbagai cabaran dan tohmahan dari pihak yang menerima tempias akan pengaruh PASTI di pelbagai peringkat. Sehingga suatu masa dahulu, PASTI difitnah menjadi pusat mengasuh minda anak kecil membenci dan memijak gambar Perdana Menteri ketika itu.


Majlis pagi itu turut dihadiri oleh pemberita Harian Sinar yang turut membuat liputan terhadap majlis tersebut yang mempertandingkan acara bola sepak yang disertai oleh 6 pasukan dan acara bola jaring yang disertai oleh 4 pasukan yang terdiri oleh murid-murid PASTI seluruh kawasan Kubang Pasu.


Syabas dan tahniah diucapkan kepada AJK, guru-guru, para waris dan juga para jurulatih pasukan-pasukan yang bertanding kerana telah menjayakan program tersebut. Insyaallah, padda tahun-tahun akan datang kita akan melaksanakan program tersebut dengan lebih meriah dan mungkin akan melibatkan beberapa pra sekolah jemputan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

*gambar2 yang terlibat akan di'up-load' kemudian atas masalah teknikal yang tak dapat dielakkan.

Monday, March 29, 2010

MUKTAMAR MGP KAWASAN KUBANG PASU 2010

Alhamdulillah. Bersyukur kehadrat Allah kerana Muktamar MGP Pasti Kawasan Kubang Pasu telah berjalan seperti yang dirancangkan.

Majlis ini telah dilaksanakan pada 5 Mac 2010 yang bertempat di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Kg Pdg Tok Kesop, Jitra. Majlis ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi MGP Negeri Kedah iaitu Puan Jawariah binti Mohd Yakin atau lebih mesra dipanggil sebagai Kak Wa dikalangan kenalan.

Majlis tersebut turut juga dihadiri oleh Puan Saadiah bt Long (Lebih dikenali sebagai Mak Tam), Naib Ketua Dewan Muslimat Kawasan Kubang Pasu, wakil PAS Kawasan Kubang Pasu dan Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Kawasan Kubang Pasu yang juga bertindak sebagai Jawatankuasa Pilihanraya bagi pemilihan Jawatankuasa Majlis Guru Pasti Kawasan Kubang Pasu bagi sesi 2010/2012 kali ini dan juga dihadiri oleh bekas-bekas guru yang pernah berkhidmat menabur budi di PASTI seluruh Kawasan Kubang Pasu sejak 25 tahun yang lalu. namun sayangnya, dari 35 orang bekas guru yang dijemput untuk menerima penghargaan dari PASTI Kawasan Kubang Pasu, hanya 4 orang sahaja yang hadir.

(Dari kiri ) Mak Tam, Kak Wa, Kak Mala serius mendengar ucapan Ketua Dewan Pemuda Kawasan Kubang Pasu selaku pengerusi majlis pada hari tersebut

Majlis telah dimulai dengan ummul Kitab dan seterusnya selawat ke atas Nabi sempena bulan kelahiran Baginda Rasulullah SAW.



Para guru PASTI berselawat dengan penuh semangat tanda cinta pada junjungan mulia Rasulullah S.A.W

Majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi Pasti Kawasan Kubang Pasu Sdr Abu Uwais bin Shuib. Antara lain isi kandungan ucapan beliau adalah sekalung penghargaan diberikan kepada guru-guru PASTI yang telah menabur bakti tanpa mengenal penat dan lelah. Selain itu, guru juga diseru supaya mempertingkatkan diri dengan menghadiri kursus-kursus yang telah dirancang oleh Jabatan PASTI Negeri Kedah agar tidak ketinggalan dengan perubahan-perubahan yang dilakukan pada kurikulum PASTI dari masa ke semasa.

Beliau juga mencadangkan agar MGP mengatur untuk membuat lawatan muhibbah ke organisasi pra sekolah yang lain sama ada PASTI kawasan lain atau juga pra sekolah swasta bagi mempertingkatkan dan memperkemaskan pengurusan PASTI masing-masing.

Majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi MGP Negeri Kedah yang telah menaburkan beberapa pengalaman penting dan juga beberapa saranan yang sungguh bermakna buat guru PASTI Kubang Pasu. Antaranya adalah beliau menasihatkan supaya guru-guru bermuhasabah dan tidak menjadi katak di bawah tempurung dan berusaha mempertingkatkan diri serta PASTI. Sifat 'cemburu' perlu ada oleh setiap guru. 'Cemburu' yang dimaksudkan adalah cemburu melihat PASTI lain lebih baik darinya, lantas berusaha untuk menjadi yang lebih baik dari itu. Guru juga dinasihatkan supaya melibatkan dengan lebih giat dengan aktiviti pati terutamanya aktiviti Muslimat PAS agar tidak dilihat seperti menyepikan diri dari gerakan parti.

Kak Wa memberi ucapan seterusnya merasmikan majlis

Beliau juga menasihati guru supaya berusaha mencari kaedah bagaimana untuk menarik minat waris untuk menghantar anak ke PASTI. Ini terrmasuklah juga menunjukkan sifat yang peramah, mesra, baik budi, bermulut manis dan kasih sayang terhadap anak-anak PASTI. Terutamanya niat para guru perlu di'set'kan supaya tidak lari dari ingin mendidik anak-anak mengenal Islam, mengenal Allah dan mengenal Rasulullah SAW. Anak-anak PASTI akan membawa budaya yang diterapkan oleh guru di kelas. Apa yang guru suka kata, itulah yang anak PASTI akan kata. Sehubungan itu, guru dianjurkan supaya selalu memberi tazkirah kepada anak-anak supaya jiwa mereka diisi dengan nur Islam.

Guru juga dinasihati supaya lebih kreatif dalam menyusunatur alat bantu mengajar di dalam kelas supaya kemas dan menarik dan membantu anak-anak PASTI menuntut ilmu dalam suasana yang selesa.

Dalam masa yang sama, proses pemilihan jawatankuasa MGP berlangsung. Ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Pasu selaku Jawatankuasa Pilihanraya telah melaksanakan tugas dengan cemerlang. Tahniah dan terima kasih. Proses kiraan undi telah dilakukan dalam tempoh masa yang begitu singkat.



Petugas DPPKP selaku 'Jawatankuasa Pilihanraya' serius melaksanakan tanggungjawab.



Pengerusi MGP turut membuang undi

Pemilihan tersebut telah membawa kepada keputusan berikut :

Pengerusi Tetap : Puan Sabariah binti Abdul Karim
Timb. Pengerusi Tetap : Puan Rozita binti Ahmad
Pengerusi MGP : Puan Norzamalati binti Zakaria
Naib Pengerusi MGP : Puan Siti Sufrok binti Hj Jusoh
AJK
1. Puan Sopiah binti Awang Sepie
2. Puan Hapizah binti Hamzah
3. Puan Somihah binti Mohd Salleh
4. Puan Halimah binti Taib
5. Puan Jamilah binti Mohd Akhir
6. Puan Nur Nafizah binti Mohd Jusoh

Tahniah kepada yang terpilih. Yang tidak terpilih, jangan jadikan alasan untuk tidak berkhidmat kepada PASTI. Khidmat kita adalah kerana Allah dan bukan kerana jawatan.

Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dan TAHNIAH !!!

Tuesday, March 2, 2010

MUKTAMAR MGP KAWASAN KUBANG PASU

Muktamar MGP Kawasan Kubang Pasu akan dilaksakan seperti berikut :

tarikh : 13 Mac 2010 (Jumaat)
Masa : 3.00 ptg
Tempat : Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kubang Pasu,
Kg Padang Tok Kesop, Jitra, Kedah
Perasmi : Puan Jawariah binti Mohd Yakin
(Pengerusi MGP Negeri Kedah)

Semua guru-guru dan bekas-bekas guru yang pernah berkhidmat kepada PASTI Kawasan Kubang Pasu dijemput hadir sebagai pemerhati.

Jabatan PASTI Kawasan Kubang Pasu mengucapkan SELAMAT BERMUKTAMAR kepada semua guru PASTI KAWASAN KUBANG PASU.

HARI SUKAN BOLA SEPAK DAN BOLA JARING PASTI KUBANG PASU

Insyaallah Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring Pasti Kawasan Kubang Pasu akan dilaksanakan seperti berikut:

tempat : Taman Tasik Darulaman, Bandar Darulaman, Jitra, Kedah
Tarikh : 20 Mac 2010
Masa : 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari

Insyaallah, jika tiada halangan yang terjadi, program tersebut akan dirasmikan oleh Ustaz Mohd Azam bin Abdul Samad Pengarah PASTI Negeri Kedah Darulaman.

Para hadirin yang berada di sekitar Jitra dijemput hadir bangi memeriahkan perjalanan program.

Untuk makluman kepada semua, program kali ini akan hanya dipertandingkan acara bola sepak dan bola jaring sahaja. Manakala acara sukaneka akan dilaksanakan pada satu masa lain yang akan diberitahu kelak.

Wednesday, January 20, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 1431

Selamat menyambut tahun baharu 1431 kepada semua dan selamat juga menjalani sesi persekolahan baharu 2010.

Kepada guru-guru:
"teruskanlah perjuangan mendidik anak bangsa. Terapkanlah nilai-nilai islam di dalam jiwa anak-anak supaya mereka membesar sebagai bukan manusia biasa tetapi membesar sebagai manusia yang luar biasa kehebatannya dalam ilmu dunia dan ilmu akhirat. Mereka inilah yang akan menerajui negara kita suatu hari kelak. Jangan lupa doakan mereka setiah hari supaya membesar sebagai anak-anak yang soleh yang akan memperjuangkan Islam yang Unggul di mata dunia"

Kepada waris:
"Tahniah kerana telah memilih PASTI sebagai wadah didikan anak-anak. Sesungguhnya pilihan ini adalah pilihan yang tepat kerana zaman mutaakhir ini amat memerlukan pendidikan yang berteraskan aqidah dan bertunjangkan tauhid kepada Allah agar anak-anak membesar tidak terkeliru dengan dakyah dan propaganda Barat yang sentiasa ingin menyesatkan pemikiran kita secara halus"

Kepada AJK DPPKP dan AJK PASTI Kaw Kubang Pasu:
"Terima kasih di atas sokongan, dokongan dan keperihatinan dalam memastikan satu-satunya aktiviti parti yang berjalan setiap hari ini terus mekar dalam memupuk roh islami ke dalam jiwa anak-anak kita"

Kepada PAS Kawasan Kubang Pasu dan setiap Pas Cawangan:
"Terima kasih di atas keperihatinan dan bantuan yang dihulurkan dalam memastikan infrastruktur dan kemudahan PASTI demi keselesaan kepada guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di setiap PASTI.

Kepada semua yangterlibat secara langsung dan tidak langsung:
"Terima kasih.. teruslah memberi sokongan kepada sistem pendidikan pra sekolah acuan Islam ini walau di mana anda berada. dan kepada warga setempat, sila lah berlapang dada untuk menghulurkan bantuan, sama ada dalam bentuk kewangan atau alat bantu mengajar, atau dalam bentuk keceriaan pasti bagi memastikan perjuangan ini dapat diteruskan hingga tertegaknya Daulah Islamiah di bumi yang bertuah ini.