Sunday, October 12, 2008

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAN AKHIR

alhamdulillah.. bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah mengizinkan kita menghirup udara-Nya yang nyaman tanpa sebarang bayaran dikenakan.

Sepanjang tahun ini, kita telah diuji dengan pelbagai dugaan dan cubaan. Dan akhirnya ternyata kita tabah menghadapinya dan mengharunginya sehingga akhir tahun tanpa rungutan dan keluhan. Ini lah dia satu perjuangan seorang guru yang sanggup menerima tekanan dari pelbagai pihak, sama ada dalam atau luaran, demi untuk membuktikan yang pendidikan Islam inilah perlu dijadikan pilihan pertama setiap ibu bapa untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada kehidupan sebenar.

Itulah sifat Allah. Dia akan memberi ujian kepada orang yang Dia suka. Jika lulus ujian tersebut, maka darjatnya akan ditingkatkan lagi.

Setelah kita mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan sepanjang tahun ini, kini tibalah masanya anak-anak PASTI negeri Kedah akan menduduki peperiksaan akhir iaitu pada 13hb hingga 16hb Oktober 2008.

Peperiksaan ini akan memberikan penilaian bukan sahaja kepada anak-anak kita, tetapi juga kepada guru-guru yang mengajar. Inilah waktu yang mana para guru perlu mengambil kesempatan untuk muhasabah diri dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang tahun ini, sama ada kaedah yang dilaksanakan adalah sesuai atau kurang sesuai atau pun tidak sesuai.

Bagi guru-guru yang menghadirkan diri ke kursus-kursus yang disediakan oleh PASTI Negeri atau Pusat, dan mengamalkan ilmu yang dipelajari, maka sudah tentu bukan menjadi masalah kepada guru tersebut untuk mengajar bakal-bakal ulamak profesional ini, malah semakin lama mengajar semakin seronok dan bersemangat lagi untuk berjumpa dengan anak-anak ini.

Marilah kita bersama-sama tingkatkan kualiti kaedah pengajaran kita supaya kualiti anak-anak PASTI ini dapat dipertingkatkan seterusnya menjadi model kepada pusat-pusat asuhan pra sekolah yang lain dalam kaedah pengajaran dan pembelajarannya.

Akhir sekali marilah kita memberikan semangat dan berdoa, agar anak-anak kita dapat menjawab peperiksaan dengan baik, sebagai mana baiknya kita mendidik dan mengasuh mereka.

Dan ingatlah, lahirnya generasi yang bertaqwa, kitalah pemangkinnya.

No comments: