Tuesday, May 26, 2009

SUKAN PASTI NEGERI

TAMAN KUCHAI, PDG SERAI,
SABTU, 23 MEI 2009

Pesta Sukan Bolasepak & Bolajaring PASTI Peringkat Negeri Kedah telah diadakan dengan jayanya. Sebanyak 15 pasukan yang mewakili kawasan parlimen masing-masing telah bersaing di dalam 2 acara sukan yang dipertandingkan, iaitu bolasepak & bolajaring. Rombongan PASTI Kubang Pasu yang berkonvoi 9 buah kenderaan tiba awal di Padang Serai pada jam 10.00 malam dan telah menginap di Taman Kobis, Taman Bersatu serta di Taman Kuchai sebelum menyertai acara sukan keesokan harinya.

Program bermula seawal jam 8.30 pagi dan dirasmikan oleh Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Pengerusi J/Kuasa Belia dan Sukan Kesenian dan Warisan Kebudayaan Kerajaan Negeri Kedah. Acara bolasepak telah diungguli oleh PASTI Kawasan Kuala Kedah yang telah muncul johan dengan mengalahkan PASTI Kawasan Jerai dengan penentuan sepakan penalti (2-1).





Walaubagaimanapun, kontijen cilik PASTI Kubang Pasu tewas kesemua acara. Jangan berduka, tahun depan kita cuba lagi. Kalah menang adalah adat dalam sebarang pertandingan. Apa yang penting ialah semangat kerjasama dan konsep ukhuwwah dapat diterapkan dengan sebaiknya melalui kejohanan sukan seperti ini.

Program berakhir pada pukul 4.00 petang dengan penyampaian hadiah kepada pemenang yang disempurnakan oleh YB. Ustazah Hjh Siti Aishah Ghazali yang hadir di saat-saat akhir bagi menyatakan sokongan.

Wallahua'lam

Monday, May 25, 2009

SAMBUTAN HARI GURU PASTI PERINGKAT KEBANGSAAN

16 Mei 2009 mencatat sejarah gemilang bagi warga pendidik pra sekolah PASTI, apabila Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Tawau , Sabah . Sambutan ini juga serentak dengan sambutan Jubli Perak PASTI setelah 25 tahun mengharungi segala pahit getir perjuangan memartabatkan sistem pendidikan Islam peringkat Pra Persekolahan di negara ini .

Membawa tema '25 Tahun Memimpin Perubahan' kini PASTI bertapak gagah di tengah-tengah saingan pendidikan negara dengan memiliki 1700 buah sekolah PASTI di seluruh negara, 3300 guru dan 63,350 murid .

Alhamdulillah, kini PASTI setelah melalui tempoh usia yang cukup menguji keutuhannya , bukan sahaja bersaing dengan sistem pendidikan pra persekolahan yang dianjurkan oleh Kerajaan tetapi juga tekanan politik dan kekangan tahap keupayaan mandiri tanpa sebarang bantuan dan sokongan dari kerajaan samaada material atau moral .



Sebanyak 4 anugerah telah disampaikan. Anugerah-anugerah tersebut ialah, Anugerah Tokoh PASTI Negeri, Anugerah Guru Paling Lama Berkhidmat Negeri, Anugerah Tokoh Guru Cemerlang dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan.

Majlis kali ini telah menobatkan Puan Faridah Bt Dawam dari Perak sebagai Tokoh Guru Kebangsaan. Salam hormat buat seluruh guru PASTI...

JUBLI PERAK 25 TAHUN PASTI :- TERBELAKAH GURU PASTI?

Selamat Hari Guru buat semua guru-guru PASTI..

"Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca" - Usman Awang

Sedar tak sedar, sudah 25 tahun usia PASTI. Pantas sekali masa berlalu. Sebagai mukaddimahnya, sempena sambutan hari guru 16 Mei yang lepas, marilah bersama kita selami kehidupan para penggerak utama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) ini. Sudah tentu ianya begitu menyentuh perasaan.

PASTI yang diasaskan dengan tujuan untuk mendidik anak-anak kita kearah membina generasi bertaqwa sudah mengorak langkah jauh kehadapan. Ramai juga antara kita yang telah berjaya dalam hidup hasil didikan dan asuhan yang diterima di PASTI. Sebahagiannya telahpun berjaya dan menyandang jawatan penting di mana-mana sahaja. Menjadi orang terkenal seperti Fenda di MHI TV3 yang berasal dari PASTI negeri Johor dan sebagainya lagi.

PASTI UNTUK SEMUA
Hari ini dengan kurikulum yang tersusun, memiliki buku teks sendiri, menjadikan institusi pengajian pra sekolah ini mampu bersaing dengan institusi pra sekolah lain. Penyertaannya juga tidak terbatas kepada ahli PAS ataupun umat Islam sahaja,tetapi ahli ahli UMNO sudah ramai yang meyakini pendidikan di PASTI lebih baik untuk anak anak mereka seawal usia lima tahun.

Lebih menarik lagi, di kawasan-kawasan bandar orang orang bukan Islam turut menghantar anak anak mereka ke PASTI. Umpamanya di Selangor dan penubuhan PASTI Venikam untuk kaum India di Perak awal tahun ini.

ASET
Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan PASTI 2005-2011 kematangan PASTI kian terserlah. PASTI juga boleh berbangga kerana memiliki Pusat Latihan PASTI di Kg Kedai Buluh, Kelantan. Walaupun ianya aset PASTI Kelantan namun manfaatnya untuk semua warga PASTI seluruh tanahair. Begitu juga dengan sebuah bangunan empat tingkat berharga RM900 ribu di Taman Samudera, Batu Caves yang dimiliki oleh Jabatan PASTI Pusat. Terlalu banyak perubahan telah berjaya dilakukan oleh pengurusan PASTI khususnya di peringkat Pusat. Tahniah di ucapkan !



ELAUN
Namun di sebalik semua itu, ada sesuatu yang amat ‘segan’ untuk dibicarakan. Ianya tentang elaun ataupun gaji yang diterima. Baru-baru ini, saya berpeluang bertemu beberapa orang guru PASTI di salah sebuah kawasan, lalu ianya telah memberi inspirasi untuk saya catatkan sesuatu di sini.

Guru yang dimaksudkan hanya berkelulusan SPM. Ketika berbual dengannya saya tanyakan berapakah gaji yang di terima. Tanpa mahu berselindung, beliau menjawab hanya RM 200 sahaja. Dengan duit tersebutlah beliau menyara keluarga. Bayangkan.. di kala kos kehidupan meningkat, harga barang naik, beliau masih boleh bertahan dengan gaji sedemikian mengurus kehidupan. Aduhai betapa tulusnya hati seorang guru yang sangup bekorban sehingga ke tahap itu. Demi PASTI yang di sayangi.

Begitulah seadanya. Sebahagian besar mereka yang memilih kerjaya sebagai guru PASTI bukanlah berniat untuk mencari rezeki semata mata tetapi lebih didorong rasa tanggungjawab untuk membantu mendidik anak anak PASTI,suatu kerja yang tidak ramai orang sanggup lakukan. Kalau mereka hendak mencari rezeki semata mata mereka ada peluang yang lebih baik kerana rata rata mereka mempunyai kelulusan akademik.

“Sejujurnya, apa yang saya perhatikan masalah kebajikan guru kadang-kadang terabai apabila pihak pengurusan PASTI di cawangan mahupun kawasan hanya bergantung kepada kutipan yuran tanpa sumber kewangan lain”.

SUMBANGAN
Untuk itu, saya bagi pihak mereka, ingin merayu sokongan dari semua untuk membantu kebajikan guru guru mahupun PASTI itu sendiri khususnya. Sempena sambutan hari guru yang telah lepas, Marilah bersama kita buka minda dan menyedarkan diri yang terlena, betapa besarnya pengorbanan guru PASTI serta berbagai kesusahan terpaksa mereka hadapi dalam usaha membangunkan PASTI.

Bersama kita menyumbang kepada akaun pembangunan PASTI kawasan Kubang Pasu :-
BIMB (Jitra) - 02-039-01-005504-3


Sunday, May 24, 2009

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

Pada 25hb hingga 28hb Mei 2009, seluruh PASTI negeri Kedah akan melangsungkan peperiksaan pertengahan tahun. Sehubungan itu, Jabatan PASTI Kawasan Kubang Pasu mengucapkan

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN

kepada semua murid-murid PASTI yang dikasihi. Semoga dapat menjawab soalan dengan tenang dan jaya.

Kepada para waris, berilah sokongan moral kepada anak-anak anda dan beri lah tunjuk ajar supaya mereka dapat bukan sahaja dapat menjawab soalan peperiksaan ini, bahkan ilmu yang disampaikan oleh guru mereka akan diingatai dan diamalkan sepanjang kehidupan mereka di bumi Allah yang tercinta ini.

24 MEI 2009 PASTI KUBANG PASU DIBERI CUTI KHAS

24hb Mei 2009 diisytiharkan sebagai hari cuti khas persekolahan PASTI seluruh kawasan Kubang Pasu. Ini adalah berikutan berlangsungnya Hari Pesta Sukan PASTI peringkat Negeri Kedah pada 23hb Mei 2009 di Padang Awam Taman Kucai, Padang Serai.

Sekian, harap maklum.

Friday, May 22, 2009

SINAR HARIAN 21 MAY 2009


Keratan akhbar Sinar Harian mengenai Sukan PASTI yang diadakan baru-baru ini
di Kg Pulau Pisang, Tunjang

Sunday, May 10, 2009

SUKAN PASTI CAWANGAN

14 J/AWAL 1430 (09 MEI 2009)
KG BENDANG PERANG, CHANGLUN

Program sukan PASTI Ihya Ulumuddin & Al Fitri, Kg Belukar, Changlun telah berlangsung dalam suasana yang sungguh meriah. Program bermula lebih kurang jam 8.30 pagi dengan ketibaan peserta dan juga pihak ibubapa.





Perasmian telah dilakukan oleh Ust Yusof b Ahmad, bekas pengerusi PASTI kawasan yang hadir bersama rombongan AJK PASTI kawasan. Acara sukan yang dipertandingkan adalah bolasepak 7 sebelah dan acara sukaneka seperti, kasut tempurung, isi air dalam botol, tarik tali dan sebagainya. Keceriaan terpapar disetiap wajah kanak-kanak yang menyertai kejohanan pada kali ini walaupun tidak menang tetapi semangat berpasukan dapat diterapkan didalam diri mereka. Banyak aksi-aksi lucu yang dapat dilihat ketika berlangsungnya kejohanan.



Tahniah kepada semua ibubapa yang turut memeriahkan kejohanan pada kali ini dengan memberi sokongan moral yang tinggi kepada anak masing-masing.

Wallahua'lam


TABUNG PEMBANGUNAN PASTI

13 J/AWAL 1430 (08 MEI 2009), JUMAAT
KG TOK KESOP

Alhamdulillah, PASTI kawasan Kubang Pasu telah berjaya melancarkan kutipan derma untuk Tabung Pembangunan PASTI di sini baru-baru ini.

Serentak dengan itu juga, edisi pengenalan BULETIN PASTI KUBANG PASU telah diedarkan secara percuma kepada orang ramai sebagai salah satu kempen untuk mempromosikan PASTI.


Sdra S/u + bendahari di malam pelancaran bersama tabung duit :)



Thursday, May 7, 2009

NANTIKAN KEMUNCULANYA..

Buletin PASTI Kawasan Kubang Pasu akan menemui anda di pasaran tidak lama lagi. Berbagai maklumat, berita, aktiviti, artikel mahupun program semasa akan dimuatkan di dalamnya.

Bersama kita nantikan kemunculannya !!


Sunday, May 3, 2009

MAKLUMAT DARI MESYUARAT LEMBAGA PENGARAH PASTI NEGERI

Untuk tindakan dan perhatian tuan/puan semua warga PASTI segenap peringkat :- AJK PASTI kawasan, MGP, pengurus cawangan, ibubapa dan waris.

16 MEI 2009
Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia 2009 akan diadakan di Tawau , Sabah

30 MEI 2009
Pesta Sukan PASTI Peringkat negeri, Padang Serai

12 JUN 2009
Sambutan Hari Guru PASTI peringkat negeri

27-28 JUN 2009
Pesta Sukan PASTI Malaysia, UNISEL, Selangor.

16-17 OKT 2009
Sambutan 25 Tahun PASTI Malaysia. Kota Bharu

10-13 DIS 2009
Kursus Guru Pakar Ambilan 3 (Siri 1) - Ibu Pejabat PASTI Malaysia



HARI SUKAN PASTI KBG PASU

SABTU, 2 MEI 2009 (7 Jamadil Awal 1430), Kg Pulau Pisang

PASTI Kawasan Kubang Pasu telah menganjurkan Sukan PASTI Peringkat kawasan di Kg Pulau Pisang, Tunjang. Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu dihadiri oleh kira-kira 500 orang di kalangan ibubapa, guru-guru, pelajar-pelajar PASTI dan penduduk setempat.

Pengerusi PASTI kawasan, Abu Uwais b Syuib berkata, program tersebut merupakan acara tahunan bagi memilih atlit-atlit cilik yang akan bertanding di peringkat negeri yang akan diadakan pada 30 Mei ini di Padang Serai, Kedah.


Kiri : Dr.Rohani (Ketua Dewan Muslimat PAS K.Pasu memberikan hadiah kepada pemenang acara bola sepak
Kanan : Dr.Rohani memberikan ucapan perasmian penutup Majlis Hari Sukan PASTI Kaw. Kubang Pasu




Anak-anak PASTI dalam Pertandingan bola sepak dan bola jaring

Majlis berlangsung dengan penuh ceria dalam semangat muhibbah. Orang ramai berduyun-duyun berkunjung di tapak sukan untuk melihat gelagat kanak-kanak yang menyertai sukan tersebut. Pelbagai acara diadakan seperti pertandingan bolasepak, bolajaring dan acara sukaneka. Walaubagaimanapun acara sukaneka terpaksa di batalkan kerana hujan lebat.


Kiri : Masyarakat Kg. Pulau Pisang dan PAS Caw. P.Pisang gotong-royong masak gulai daging untuk juadah tengahari semua yang hadir. Kanan : Ketua PAS Caw. P.Pisang sdg ditemuramah oleh oleh wartawan Sinar Harian

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh Ketua Muslimat Kubang Pasu, Dr Rohani Muttalib dan jamuan makan tengahari yang di taja oleh PASTI kawasan dengan kerjasama AJK cawangan Pulau Pisang.


Wallahua'lam

* Jutaan penghargaan dirakamkan buat HPA, Era Edar, Berkat Soya dan juga kepada semua individu yang bermurah hati menderma serta menaja hadiah bagi menjayakan Hari Sukan PASTI Kbg Pasu.


Friday, May 1, 2009

GOTONG ROYONG SEMPENA SUKAN PASTI

JUMAAT, Kg Pulau Pisang, 01 MEI 2009 (6 Jamadil Awal 1430)

"Kebersihan separuh daripada iman. Ianya melambangkan budi dan jati diri pekerti seseorang. Kebersihan melambangkan pemikiran seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat."

Kira-kira 20 orang hadir menyertai Majlis Gotong-Royong Membersih Markas PAS Darul Qarar, pagi tadi bersempena dengan Sukan PASTI yang akan berlangsung esok. Mereka terdiri daripada AJK Pemuda PAS Kawasan, AJK PASTI Kawasan, AJK PAS cawangan dan beberapa orang penduduk kampung.

Majlis gotong-royong bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12.00 tengahari.

Antara kerja-kerja yang menjadi tumpuan gotong-royong pada hari ini termasuklah membersihkan padang permainan, memesin rumput, mendirikan khemah, menyapu sampah, meratakan tanah dan seumpamanya.

Gambar-gambar semasa gotong-royong sebagaimana berikut :-