Wednesday, May 19, 2010

KENAPA PASTI JADI PILIHAN?


PASTI ialah institusi pendidikan yang ditubuhkan sebagai pilihan kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam. Walaupun ia adalah pendidikan pra sekolah, PASTI tetap memainkan peranan yang penting dalam memberi alternatif pendidikan Islam kepada masyarakat. Visi PASTI cukup jelas iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh. Kurikulum PASTI dibangunkan untuk mencapai matlamat 5M iaitu membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamalkan ilmu yang dipelajari.

Pendidikan sejak di awal usia adalah penting, bagi memantapkan keimanan .Terdapat sesetengah penyokong jemaah Islam yang mengambil sikap mudah, tidak peduli di mana anaknya belajar, dengan siapa dia belajar kerana merasakan anaknya masih kecil. Nanti apabila besar akan diasuh dengan pendidikan Islam. Betulkah begitu? Bukankah kita diajar mengazankan apabila bayi dilahirkan, supaya kalimah pertama yang didengar ialah kalimah tauhid. Apakah maknanya ini semua, kalau bukan pentingnya mendidik seawal usia. Barangkali juga kita lupa, Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa anak seumpama kain putih maka ibubapanyalah yang mencorakkan samaada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Maka sepatutnya PASTI menjadi pilihan mandatori terhadap pendidikan pra sekolah anak-anak kita.

PASTI menetapkan Islam sebagai manhaj pendidikanya. Untuk mencapai matlamat pendidikan Islam iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh maka tiada pilihan lain selain daripada kurikulium Islam yang syumul. Tadika yang tidak mengambil manhaj Islam sebagai teras pendidikan tidak mampu membentuk anak yang beriman dan soleh kerana dasarnya bukan Islam. Mana mungkin sistem pendididkan yang lain daripada Islam akan membentuk peribadi Muslim yang beriman dan bertaqwa.

Hanya para pendiddik yang beriman dan beramal soleh akan melahirkan pelajar yang beriman dan beramal soleh. PASTI mempunyai guru – guru yang sememangnya sentiasa di bentuk melalui tarbiyyah jamaah seperti usrah, tamrin dan majlis-majlis ilmu bagi memantapkan ilmu, iman dan amal murabbi sendiri.. Di tangan merekalah, anak -anak kita diasuh. Guru yang tidak memahami Islam tidak dapat menjadikan anak- anak kita sebagai orang yang bertaqwa. Maka di atas alasan apakah kita menghantar anak-anak kita kepada mereka yang jahil hakikat tasawur Islam bahkan menentang perjuangan Islam.

Kesungguhan dan keikhlasan guru PASTI dalam mendidik menjadi satu aset yang besar kepada jemaah. Kecintaan mereka kepada perjuangan Islam sepatutnya sudah cukup bagi kita untuk menghantar anak-anak ke PASTI. Sungguh menghairankan , kita bersungguh –sungguh berjuang untuk menegakkan Islam tetapi pada masa yang sama membiarkan anak-anak kita dibentuk oleh orang lain , bahkan diajar oleh guru-guru yang menentang hukum Allah dan Rasul. Dimanakah rasionalnya kita? PASTI sentiasa mengadakan kursus –kursus profesionalisma perguruan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Cabaran pendidikan yang sentiasa berubah dan mencabar, didepani oleh PASTI dengan sewajarnya.

Masyarakat hari ini menghadapi cabaran kebendaan yang hebat. Setiap hari media massa menonjolkan gaya hidup yang mewah. Pemikiran umat Islam sentiasa diasak dengan kemajuan pembangunan kebendaan .Lantaran itu mungkin ada sebahagian daripada kita lebih mementingkan RM 300.00 setahun daripada pendiddikan Islam anak-anak kita. Ada sesetengah orang sanggup meninggalkan masjid dan surau yang selama ini hatinya tertambat , kerana diugut tidak akan diberi wang ihsan . Ada pula yang sanggup menjadi jahil sepanjang tahun dengan meninggalkan majlis-majlis ilmu yang selama ini ia menjadi murid setia. Kalaulah ini berlaku, di manakah nilai iman kita . Apa yang akan kita jawab dan persembahkan di hadapan Allah di akhirat nanti.?

Kita mesti menyatakan iltizam kepada jamaah melalui tindakan . Setiap program yang disusun oleh jemaah semestinya didukung dengan penuh rasa tanggungjawab. Rasa kecintaan kepada kepada jamaah dan institusi milik jemaah (masjid, surau, markaz, kelas pengajian) mestilah sentiasa disuburkan supaya terus segar. Kita perlu menanam keyakinan bahawa jamaah adalah milik kita.

Takbirr !!

Monday, May 17, 2010

HAPPY TEACHERS DAY


Sempena dengan Hari Guru 2010, PASTI Kawasan Kbg Pasu mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik, khasnya guru PASTI. Sebagaimana kita maklum, guru merupakan insan mulia, pencetus kejayaan umat serta pembina tamadun manusia yang berjaya. Kejayaan kita semua pada hari ini bermula dengan didikan guru yang sabar, tekun, ikhlas dan jujur mendidik anak bangsanya.

Tanpa guru, tidak mungkin negara dan rakyat mampu bergerak maju. Sememangnya kerjaya sebagai guru adalah sangat mulia dan mencabar. Meskipun berdepan dengan pelbagai kerenah dan tingkah laku pelajar yang pelbagai, ditambah dengan tekanan ibu bapa serta masyarakat sekeliling, para guru terus menuai bakti dan mencurah ilmu tanpa jemu. Sama ada mereka diingati atau dilupakan, setiap tahun tanpa kita sedari, para guru telah melahirkan orang-orang yang hebat seperti ulama’, tokoh akademik, para profesional, teknokrat, usahawan, tenaga-tenaga pakar mahir dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya sumbangan para pendidik yang bergelar guru tidak boleh dilupakan. Keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran mereka wajar diberikan pengiktirafan. Suara dan pandangan mereka perlu perlu dihormati, rungutan dan permintaan mereka perlu didengari, permasalahan mereka perlu diperhati. Inilah tanda penghomatan kita semua terhadap jasa dan pengorbanan para pendidik.

Akhir sekali, PASTI Kawasan Kbg Pasu mengharapkan para pendidik terus istiqomah, sabar dan jujur dengan dunia pendidikan. Dunia pendidikan adalah satu perjuangan dan jihad yang besar serta mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah SWT, dan hanya guru mampu mempelopori medan ini. Hari Guru perlu diraikan dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa para guru adalah insan mulia yang wajar dihormati.

Selamat Hari Guru Buat Semua Guru-Guru PASTI.


Thursday, May 13, 2010

KERJA 'O'




Assalamulaikum..

PASTI Kawasan Kbg Pasu mempelawa calon-calon yang memenuhi syarat-syarat di bawah untuk memohon jawatan sebagai guru PASTI :-

Syarat permohonan :

1. Muslimat berumur 18 tahun ke atas.
2. Mestilah berfikrah Islam, menutup aurat, sabar dan penyayang.
3. Berminat untuk menjadi pendidik.
4. Berkelulusan SPM/Thanawi/STPM/STAM
5. Mahir membaca Al-Quran & Jawi
6. Sanggup berkhidmat di mana-mana cawangan PASTI

Sesiapa yang berminat sila emelkan 'resume' kepada pastikp@gmail.com.

sekadar gambar hiasan :)

Tuesday, May 11, 2010

SELAMAT HARI IBU

Selamat Hari Ibu buat semua guru-guru PASTI


" Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (23) Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (24) Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat. " - Al-Isra' : 23-25

sekadar gambar hiasan

Ibu..
Di saat ku melihat dunia,
Kau tersenyum menangis gembira,
Tatkala ku dibesarkan,
kau berikan segunung kasih sayang,
Selaut belaian..

Ibu..
Akan ku gapai kejayaan biarpun tanah tak ku pijak,
Akan ku cari kejayaan untuk kau ibu,
Itu lah yang mampu membuatkan kau tersenyum gembira melihat ku,
Akan ku jadikan bunga-bunga di taman,
tempat lebah mencari madu,
Agar madu yang manis membuatkan hidupmu lebih bererti..

Ibu..
Pengorbananmu akan ku balas,
Pengajaranmu sentiasa jadi pegangan,
Biarpun ombak merobek dunia,
Kau tetap ibuku yang satu.

Sunday, May 9, 2010

Mengatasi Masalah Anak-Anak Yang Nakal, Degil Dan Suka Melawan Cakap Ibu Bapa

Saya terbaca satu post yang amat menarik untuk dikongsi bersama, iaitu mengenai ikhtiar untuk mendapatkan anak yang soleh.

Kebetulan saya pun bertugas sebagai tenaga pengajar dan saya dapati memang zaman sekarang perangai anak2 kita semakin menjadi2 akhir2 ini. Mungkin disebabkan pengaruh rakan sebaya, media massa (tv yang menayangkan adegan2 ganas, tahayul yang mengkurafatkan, adegan cinta yang dilarang islam, dengan adegan bercumbu2 dsb). Mungkin juga ini adalah disebabkan kesalahan kita sebagai ibu bapa yang tersilap dalam menyediakan acuannya pada masa lalu.

Bersamalah kita berkongsi apa yang ditulis oleh penulis blog di

http://darussyifasetiu.blogspot.com/2010/02/mengatasi-masalah-anak-anak-yang-nakal.html

Secara fitrahnya semua ibu bapa mahukan anak-anak yang menghormati ibu bapa, mentaati hukum agama, sentiasa menjauhi maksiat serta tidak terjebak dengan gejala sosial.

Pengalaman penulis di Darussyifa’ sering bertemu dengan ibu bapa yang mengadu tentang anak-anak mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti anak-anak yang lari dari rumah, bergaul dengan remaja yang rosak akhlak, berzina, menagih dadah, melawan ibu-bapa, kasar serta biadab dengan ibu bapa dan seumpamanya.

Ibu bapa yang datang ke Darussyifa’ ini meminta perawat mengikhtiarkan sesuatu supaya anak-anak mereka boleh dipulihkan. Di antara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah membaca doa-doa tertentu pada air seperti Surah al-Fatihah, Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5), Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyah, Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3) dan beberapa doa-doa yang lain. Air yang telah dibacakan dengan doa ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi.

Salah satu ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan memberi minum anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut;

1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.

2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air untuk mengambil wuduk.

3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.

4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.

5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.

6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.

7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dimasukkan ke dalam botol dan dicampurkan sedikit dengan air mineral atau air minuman yang lain.

8. Gunakan air tadi untuk memandikan anak-anak yang bermasalah. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.


Pencegahan Awal

Daripada pengamatan penulis serta kajian yang telah dibuat, lebih 90% ibu-bapa yang datang mengadu anak mereka bermasalah, apabila diperdengarkan doa berikut, mereka kata tidak pernah pun mendengar doa ini. Doa tersebut adalah seperti berikut;

Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.

Doa yang tersebut di atas adalah dipetik daripada hadis nabi

...bersambung di episod akan datang. Banyak lagi petua yang kadang2 kita terlepas pandang.

Saturday, May 1, 2010

01 MEI 2010

KERANA GURU PASTI JUGA PEKERJA :)

Pekerjaan merupakan asas kepada kehidupan setiap individu. Ia membolehkan seseorang itu menjadi penyumbang utama kepada masyarakat dan juga ekonomi negara di samping menyediakan kerperluan asas kepada ahli keluarga di bawah tanggungannya.

Dalam erti kata lain, adalah menjadi satu kewajipan, iaitu fardu ain bagi seorang ketua keluarga untuk mencari rezeki dengan bekerja bagi menampung kehidupan harian semua yang berada di bawah tanggungannya termasuk dirinya. Jika ini tidak dilakukan, maka individu itu dikatakan tidak melaksanakan tanggungjawabnya ke atas mereka yang berhak.

Di dalam konteks masyarakat pula, adalah menjadi kewajipan fardu kifayah bagi orang Islam untuk bergiat di dalam sesuatu kerjaya. Misalnya jika di dalam masyarakat berkenaan tidak ada orang Islam yang menjalankan sesuatu pekerjaan yang dianggap kritikal, maka adalah menjadi kewajipan bagi ahli masyarakat berkenaan untuk memastikan supaya ada orang Islam yang menceburi bidang itu. Ini adalah tanggungjawab masyarakat atau fardu kifayah..


Ciri yang paling utama di dalam menjadikan pekerjaan sebagai ibadah adalah niat. Niat adalah soal hati yang hanya diketahui oleh diri kita dan Allah swt. Jika sesuatu pekerjaan atau arahan kerja dilakukan secara ikhlas, insya-Allah pekerjaan kita itu akan diterima sebagai satu ibadah dan seterusnya akan diberi ganjaran oleh Allah swt.

Tidak kiralah apa jua pekerjaan anda samada tukang besi, penarek becha, penjual nasi lemak di tepi-tepi jalan, penoreh getah di kampung, kakitangan awam atau CEO syarikat, lakukakan kerja anda sebaik mungkin dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab.

Selamat Hari Pekerja untuk semua !!