Wednesday, April 7, 2010

SUKAN PASTI KAWASAN KUBANG PASU 2010

Segala puji bagi Allah SWT kerana telah izinkan berlangsungnya temasya Sukan Pasti Kawasan Kubang Pasu bagi tahun 2010.


Majlis telah dilangsungkan pada 20 Mac 2010 bertempat di Taman Tema Tasik Bandar Darulaman, Jitra, Kedah. Terima kasih kami ucapkan kepada Dr Rohani selaku Ahli Majlis yang telah memberi sokongan untuk melaksanakan program tersebut di sana. Juga kepada pihak pentadbiran Taman Tema Tasik di atas kerjasama sepanjang perjalanan program tersebut.


Dengan kehadiran yang menjangkau 500 orang, program tersebut diklasifikasikan sebagai berjaya dengan bantuan Dewan Pemuda Pas Kubang Pasu, Sukarelawan Pemuda Pas Kubang Pasu, para waris, guru-guru dan Jawatankuasa PASTI Kawasan Kubang Pasu.


Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ustaz Rosli, dan dirasmikan penutupnya oleh Pengarah Pasti Negeri Kedah iaitu Ustaz Mohd Azam bin Samat. Dalam ucapannya berliau menekankan bahawa sistem pendidikan di PASTI tidak serupa dengan pendidikan di mana-mana pra sekolah. PASTI memberi penekanan aqidah, akhlak di samping bekalan mengenal asas-asas agama dan tidak meninggalkan aktiviti ko-kurikulum bagi menyihatkan tubuh badan.


Beliau juga menceritakan sedikit sebanyak sejarah PASTI sepanjang 25 tahun penubuhannya sehingga kini, telah menempuh pelbagai cabaran dan tohmahan dari pihak yang menerima tempias akan pengaruh PASTI di pelbagai peringkat. Sehingga suatu masa dahulu, PASTI difitnah menjadi pusat mengasuh minda anak kecil membenci dan memijak gambar Perdana Menteri ketika itu.


Majlis pagi itu turut dihadiri oleh pemberita Harian Sinar yang turut membuat liputan terhadap majlis tersebut yang mempertandingkan acara bola sepak yang disertai oleh 6 pasukan dan acara bola jaring yang disertai oleh 4 pasukan yang terdiri oleh murid-murid PASTI seluruh kawasan Kubang Pasu.


Syabas dan tahniah diucapkan kepada AJK, guru-guru, para waris dan juga para jurulatih pasukan-pasukan yang bertanding kerana telah menjayakan program tersebut. Insyaallah, padda tahun-tahun akan datang kita akan melaksanakan program tersebut dengan lebih meriah dan mungkin akan melibatkan beberapa pra sekolah jemputan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

*gambar2 yang terlibat akan di'up-load' kemudian atas masalah teknikal yang tak dapat dielakkan.

No comments: