Monday, May 17, 2010

HAPPY TEACHERS DAY


Sempena dengan Hari Guru 2010, PASTI Kawasan Kbg Pasu mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik, khasnya guru PASTI. Sebagaimana kita maklum, guru merupakan insan mulia, pencetus kejayaan umat serta pembina tamadun manusia yang berjaya. Kejayaan kita semua pada hari ini bermula dengan didikan guru yang sabar, tekun, ikhlas dan jujur mendidik anak bangsanya.

Tanpa guru, tidak mungkin negara dan rakyat mampu bergerak maju. Sememangnya kerjaya sebagai guru adalah sangat mulia dan mencabar. Meskipun berdepan dengan pelbagai kerenah dan tingkah laku pelajar yang pelbagai, ditambah dengan tekanan ibu bapa serta masyarakat sekeliling, para guru terus menuai bakti dan mencurah ilmu tanpa jemu. Sama ada mereka diingati atau dilupakan, setiap tahun tanpa kita sedari, para guru telah melahirkan orang-orang yang hebat seperti ulama’, tokoh akademik, para profesional, teknokrat, usahawan, tenaga-tenaga pakar mahir dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya sumbangan para pendidik yang bergelar guru tidak boleh dilupakan. Keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran mereka wajar diberikan pengiktirafan. Suara dan pandangan mereka perlu perlu dihormati, rungutan dan permintaan mereka perlu didengari, permasalahan mereka perlu diperhati. Inilah tanda penghomatan kita semua terhadap jasa dan pengorbanan para pendidik.

Akhir sekali, PASTI Kawasan Kbg Pasu mengharapkan para pendidik terus istiqomah, sabar dan jujur dengan dunia pendidikan. Dunia pendidikan adalah satu perjuangan dan jihad yang besar serta mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah SWT, dan hanya guru mampu mempelopori medan ini. Hari Guru perlu diraikan dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa para guru adalah insan mulia yang wajar dihormati.

Selamat Hari Guru Buat Semua Guru-Guru PASTI.


No comments: