Friday, April 24, 2009

HARI SUKAN PASTI

ASSALAMUALAIKUM..

InsyaAllah, Jabatan PASTI Kawasan Kubang Pasu akan mengadakan Hari Sukan PASTI Peringkat Kawasan sebagaimana butiran berikut :-

Kg Pulau Pisang, Sabtu, 02 Mei 2009

Antara acara bakal dipertandingkan ialah, bolasepak, bolajaring dan sukaneka.

Semua di jemput hadir !!

"25 TAHUN PASTI MEMIMPIN PERUBAHAN"

Sunday, April 5, 2009

SAMBUTAN 25 TAHUN PASTI

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...

Alhamdulillah, sedar tak sedar usia PASTI Malaysia sudah mencecah 25 tahun. Masih muda belia, bak anak dara. Tentunya banyak sekali suka duka yang telah dilalui oleh semua warga PASTI. Tidak kira siapa pun jua, para guru, pendokong, kakitangan, bekas murid, mahupun insan mulia di belakang tabir yang berjuang tanpa jemu memartabatkan PASTI sejak dari peringkat awal penubuhannya hinggalah sekarang.



Sambutan 25 Tahun PASTI akan diadakan nanti pada 16-17 Oktober nanti di Kota Bharu. Semoga PASTI terus mengorak langkah maju kehadapan. InsyaAllah





Monday, March 30, 2009

PENUBUHAN PASTI DI MALAYSIA

Satu sorotan sejarah

Cetusan idea untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bermula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu maka timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam. Pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.

Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Satu perkara yang menarik pada ketika itu ialah dari segi pengasasan pengelolaan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan. Persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan pra sekolah kepada ABIM seawal tahun 1980 an. Maka lahirlah pusat- pusat pendidikan pra sekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Di Terengganu pada tahun 1985 TASKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Manakala di Kelantan pusat pra sekolah yang dikenali sebagai Putra Islam yang di kendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988.

Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat pra sekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS negeri masing-masing. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Muktamar Tahunan Ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat. Ustaz Abu Bakar Abdullah dari Terengganu telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan PASTI yang pertama.

Seminar PASTI

Pada 29- 30 Mei 1988 telah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang, Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dibentangkan iaitu "Struktur Organisasi dan Penyelarasan Pendidikan Prasekolah" oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan "Penyelarasan Manhaj Pendidikan Prasekolah' oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama Sdra. Haji Mohd Najib Fahami Haji Yahaya sebagai Timbalan Ketua Pengarah. Sdra. Ishak Ismail sebagai Setiausaha dan Sdra. Noh Ahmad sebagai Bendahari serta Pengarah-Pengarah PASTI Negeri sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.


logo sambutan 25 tahun PASTI

Pada 21 Julai 1991 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan semua PASTI menggunakan logo baru yang rasmi dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.

PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan pertambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Friday, January 2, 2009

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN 2009

Hari pertama persekolahan anak-anak PASTI Kubang Pasu bermacam-macam karenah. Ada yang datang dah duduk senyap sorang-sorang, ada yang nak mak ayah teman, ada yang nak balik dulu sebab katanya hari tu tak ada aktiviti lagi.

Namun walaubagaimana pun, itulah karenah yang biasa kita lihat di mana-mana sekolah pun. Yang sudah biasa ke sekolah, akan menunjukkan reaksi tenang dan mudah mendapat kawan baru. Bagi yang baru menjejakkan kaki di sekolah pula, kadang-kadang lambat untuk mesra. Dan ada pula yang tak biasa untuk berpisah dengan ibu bapa.



Bagi PASTI Kubang Pasu pula, minggu pertama menunjukkan sambutan yang sedikit dingin. Sesuatu yang ditakuti akan berlaku iaitu tak ramai murid yang mendaftar. Ada PASTI yang 30 orang, 60 orang dan ada juga yang hanya 2 orang pada minggu pertama pendaftaran. Tetapi kini, majoriti PASTI Kubang Pasu mengalami pertambahan bilangan murid pada tahun 2009 berbanding 2008. Terdapat satu sahaja PASTI yang bilangan muridnya merosot.



Akibat kemerosotan ini, dapat disimpulkan dalam perbincangan AJK Pasti Kubang Pasu dapat menyatakan puncanya disebabkan pengurusan di Cawangan yang tidak effektif. Bagi PASTI yang di'jaga' dengan baik oleh cawangan, kita dapat lihat hanya sedikit sahaja masalah yang timbul, manakala yang tidak di'jaga' oleh cawangan, memang PASTI ini bermasalah.

Sehubungan itu, kami menyarankan supaya setiap cawangan lebih bertanggungjawab menjaga maruah PAS iaitu PASTI sepertimana yang dilakukan oleh UMNO dengan Tadika KEMASnya.

Wednesday, November 5, 2008

PENDAFTARAN MURID BARU TELAH DIBUKA

Pendaftaran murid baru PASTI telah dibuka. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia 4, 5 atau 6 tahun pada 2009 bolehlah hubungi mana-mana PASTI yang berhampiran untuk mendaftarkan anak tuan/puan dengan segera.

Untuk makluman semua, kami telah mendengar beberapa pengalaman waris yang pada awalnya menghantar anak mereka untuk belajar di PASTI selama setahun, dan tahun kemudiannya mereka menghantar anak mereka di sekolah pra sekolah. Ternyata selepas itu mereka menyatakan bahawa memang terdapat perbezaan dari segi perkembangan mental mereka. Waris tersebut telah menyatakan kesan pembelajaran di PASTI amat berkesan dengan bacaan, hafazan doa dan surah, kiraan, bahasa arab, akhlak, ibadah dan sebagainya.




jangan ketinggalan. Fikirlah... demi masa depan anak kita, keturunan kita, bangsa kita, negara kita dan sudah pasti lah demi menjaga kesucian agama Islam yang kita cintai ini...

Tidak semestinya kita perlu keluarkan modal yang lebih untuk mendapat sesuatu yang lebih berkualiti.