Monday, May 12, 2008

Makanan Segera Antara Punca Kegemukan Kanak-Kanak


MAKANAN segera atau fast food sering menjadi pilihan kanak-kanak apabila mereka dibawa keluar sama ada untuk bersiar-siar atau membeli-belah. Pastinya, restoran makanan segera menjadi pilihan utama, apatah lagi jika set makanan itu turut menyediakan permainan.

Namun, ibu bapa sepatutnya mendidik dan melatih anak mereka supaya mengamalkan diet seimbang, iaitu mengambil semua jenis makanan yang membekalkan karbohidrat, protein, fibre atau serat dan kalsium.

Tidak dinafikan memang sukar bagi ibu bapa mengawal pemakanan anak-anak, terutama bagi mereka yang berusia di antara lima hingga 10 tahun.

Perunding Pemakanan Mont Kiara Medical City di Kuala Lumpur City Centre, Farah DiBa Khan, berkata pengambilan makanan segera perlu dihadkan seminggu sekali kerana ia tidak membekalkan diet seimbang.

Beliau berkata, makanan segera banyak mengandungi lemak dan diet seumpama itu tidak berkhasiat kepada kanak-kanak yang sedang membesar kerana dikhuatiri mereka akan mengalami masalah kegemukan pada kemudian hari.

Makanan segera selalunya tidak mengandungi serat manakala kandungan gula dan garam pula tinggi.

“Sebaik-baiknya hadkan pengambilan makanan segera seminggu sekali kepada anak. Sebagai ibu bapa, anda perlu melatih dan mendidik mereka supaya tidak kerap mengambil makanan segera sejak peringkat awal lagi.

“Memang sukar untuk melatih mereka mengamalkan diet seimbang dan berkhasiat dan ini mungkin mengambil masa. Selalunya tarikan utama kanak-kanak terhadap makanan segera adalah permainan yang turut dijual di dalam setiap set makanan kanak-kanak,” katanya.

Ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini, Farah DiBa berkata, makanan mempunyai fungsi penting dalam kehidupan dan pertumbuhan setiap kanak-kanak.

Lazimnya, burger, kerepek kentang, sosej dan nuget ayam sering menjadi pilihan walhal semua makanan itu boleh dibuat dan dimasak sendiri di rumah.

“Justeru, jika ada masa terluang, ibu-ibu boleh membuat sendiri burger, sosej, kerepek kentang dan nuget ayam. Ini jauh lebih baik kerana selalunya apabila makanan itu dimasak sendiri, tiada bahan pengawet dan perasa yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, selain pengambilan makanan segera, ibu bapa juga tidak berpeluang memantau pengambilan pelbagai jenis makanan yang kurang berkhasiat pada anak-anak ketika di sekolah.

Kantin sekolah pula selalunya lebih banyak menyediakan makanan bergoreng dan berlemak dan ini sekali gus menjadikan pengambilan makanan anak-anak tidak seimbang dan berkhasiat.

“Sebaik-baiknya, sediakan bekalan dari rumah untuk ke sekolah. Ini bukan saja dapat mengajar anak itu berjimat cermat tetapi mendidik mereka supaya mengamalkan diet yang lebih baik. Bagaimanapun, seminggu sekali beri wang saku kepada mereka untuk membolehkan mereka berbelanja di sekolah pula.

“Sebagai ibu bapa, anda perlu bijak menyediakan bekalan makanan untuk anak. Pelbagaikan makanan yang dibekalkan, contohnya, sandwic sardin, pau kukus, sandwic telur, sandwic tuna dan mi goreng.

“Pastikan menu bekalan itu berubah setiap hari kerana dikhuatiri anak akan cepat bosan jika anda menyediakan makanan yang sama saban hari,” katanya.

Farah DiBa berkata, anak juga jarang atau sukar mengambil sarapan dan keadaan ini kadangkala menyebabkan ibu bapa buntu memikirkan makanan terbaik untuk anak mereka sebelum melangkah ke sekolah.

Jika kanak-kanak kurang selera untuk makan, pastikan mereka minum segelas susu rendah lemak untuk mengalas perut sebelum ke sekolah. Susu rendah lemak perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak apabila mereka berusia lima tahun.

“Apabila anak anda sudah mencapai usia lima tahun, sebaik-baiknya, perkenalkan kepada mereka makanan dan minuman rendah lemak sebagai satu daripada langkah mencegah kegemukan.

Berdasarkan kajian, alasan yang sering diberikan kerana mengabaikan sarapan ialah tidak cukup masa dan kurang selera.

Malah, hanya kira-kira 30 peratus kanak-kanak sekolah rendah didapati tidak bersarapan biarpun ia amat penting sebelum memulakan kegiatan harian.

Katanya lagi, selain mendidik anak terhadap pemakanan seimbang dan berkhasiat, ibu bapa juga digalakkan supaya mengajar anak-anak mereka bersenam sejak kecil lagi untuk memastikan mereka tidak mengalami masalah kesihatan, termasuk kegemukan.

Mengikut kajian, hanya 24 peratus kanak-kanak terbabit dalam kegiatan fizikal seperti berbasikal, bermain badminton dan berlari.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah 76 peratus daripada mereka lebih menumpukan perhatian terhadap kegiatan yang tidak memerlukan pengeluaran peluh seperti menonton televisyen.

Makanan yang sering diambil oleh kanak-kanak untuk sarapan?

- Roti (21 peratus).

- Nasi lemak (15 peratus).

- Nasi goreng (14 peratus).

- Kuih-muih (13 peratus).

- Roti canai (sembilan peratus).

- Mi dan telur (masing-masing lapan peratus).

- Bijirin (tujuh peratus).

- Goreng pisang (tiga peratus).

- Lain-lain (dua peratus).

Farah DiBa berkata, pengambilan makanan tidak seimbang dan tidak bersenam adalah dua faktor yang meningkatkan risiko kepada kanak-kanak untuk berdepan dengan masalah kegemukan selain genetik.

Justeru, beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga bermasalah kegemukan, perlu memandang berat pengambilan makanan di kalangan anak mereka sejak dari kecil.

“Ini kerana, katanya, kanak-kanak yang gemuk sejak kecil akan terus menjadi gemuk apabila dewasa walaupun tidak 100 peratus daripada mereka akan berterusan berkeadaan begitu. Namun, amat kurang kanak-kanak gemuk akan menjadi kurus apabila mereka meningkat dewasa,” katanya
--------------------------------------------------------------------------------
SUMBER: BERITA HARIAN 10.4.08 (Raihanah Abdullah)

No comments: