Friday, January 2, 2009

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN 2009

Hari pertama persekolahan anak-anak PASTI Kubang Pasu bermacam-macam karenah. Ada yang datang dah duduk senyap sorang-sorang, ada yang nak mak ayah teman, ada yang nak balik dulu sebab katanya hari tu tak ada aktiviti lagi.

Namun walaubagaimana pun, itulah karenah yang biasa kita lihat di mana-mana sekolah pun. Yang sudah biasa ke sekolah, akan menunjukkan reaksi tenang dan mudah mendapat kawan baru. Bagi yang baru menjejakkan kaki di sekolah pula, kadang-kadang lambat untuk mesra. Dan ada pula yang tak biasa untuk berpisah dengan ibu bapa.



Bagi PASTI Kubang Pasu pula, minggu pertama menunjukkan sambutan yang sedikit dingin. Sesuatu yang ditakuti akan berlaku iaitu tak ramai murid yang mendaftar. Ada PASTI yang 30 orang, 60 orang dan ada juga yang hanya 2 orang pada minggu pertama pendaftaran. Tetapi kini, majoriti PASTI Kubang Pasu mengalami pertambahan bilangan murid pada tahun 2009 berbanding 2008. Terdapat satu sahaja PASTI yang bilangan muridnya merosot.



Akibat kemerosotan ini, dapat disimpulkan dalam perbincangan AJK Pasti Kubang Pasu dapat menyatakan puncanya disebabkan pengurusan di Cawangan yang tidak effektif. Bagi PASTI yang di'jaga' dengan baik oleh cawangan, kita dapat lihat hanya sedikit sahaja masalah yang timbul, manakala yang tidak di'jaga' oleh cawangan, memang PASTI ini bermasalah.

Sehubungan itu, kami menyarankan supaya setiap cawangan lebih bertanggungjawab menjaga maruah PAS iaitu PASTI sepertimana yang dilakukan oleh UMNO dengan Tadika KEMASnya.

Wednesday, November 5, 2008

PENDAFTARAN MURID BARU TELAH DIBUKA

Pendaftaran murid baru PASTI telah dibuka. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia 4, 5 atau 6 tahun pada 2009 bolehlah hubungi mana-mana PASTI yang berhampiran untuk mendaftarkan anak tuan/puan dengan segera.

Untuk makluman semua, kami telah mendengar beberapa pengalaman waris yang pada awalnya menghantar anak mereka untuk belajar di PASTI selama setahun, dan tahun kemudiannya mereka menghantar anak mereka di sekolah pra sekolah. Ternyata selepas itu mereka menyatakan bahawa memang terdapat perbezaan dari segi perkembangan mental mereka. Waris tersebut telah menyatakan kesan pembelajaran di PASTI amat berkesan dengan bacaan, hafazan doa dan surah, kiraan, bahasa arab, akhlak, ibadah dan sebagainya.




jangan ketinggalan. Fikirlah... demi masa depan anak kita, keturunan kita, bangsa kita, negara kita dan sudah pasti lah demi menjaga kesucian agama Islam yang kita cintai ini...

Tidak semestinya kita perlu keluarkan modal yang lebih untuk mendapat sesuatu yang lebih berkualiti.

Wednesday, October 22, 2008

MAJLIS UJIBAKAT PASTI

Tahniah kepada semua guru yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program majlis Ujibakat PASTI peringkat negeri Kedah yang telah berlangsung pada 18 Oktober 2008 di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Alor Star.

Terdapat beberapa acara yang telah dipertandingkan. Antaranya adalah pertandingan azan dan doa, pertandingan pidato, sajak, khutbah, bercerita kisah al-quran, hafazan surah dan doa harian.

PASTI Kawasan Kubang Pasu hanya menghantar wakil bagi acara seperti berikut:

1. Azan - Mohd Anuar bin Saidin
2. Sajak - Maisarah binti Mohd Fazil
3. Cerita kisah dari Al-Quran - Shawrah Nabihah binti Ali
4. Pidato - Nurul Rosniza binti Che Asmadi
5. Hafazan Surah - Ku Mariyam binti Ku Abdul Hamid

Tahniah diucapkan kepada guru-guru dan murid-murid PASTI yang telah memberikan komitmen dan kerjasama.

Bersedialah pula untuk menghadapi Majlis Ujibakat PASTI peringkat Pusat di Sri Mentalun pada 31 okt hingga 1 nov 2008.

Sunday, October 12, 2008

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAN AKHIR

alhamdulillah.. bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah mengizinkan kita menghirup udara-Nya yang nyaman tanpa sebarang bayaran dikenakan.

Sepanjang tahun ini, kita telah diuji dengan pelbagai dugaan dan cubaan. Dan akhirnya ternyata kita tabah menghadapinya dan mengharunginya sehingga akhir tahun tanpa rungutan dan keluhan. Ini lah dia satu perjuangan seorang guru yang sanggup menerima tekanan dari pelbagai pihak, sama ada dalam atau luaran, demi untuk membuktikan yang pendidikan Islam inilah perlu dijadikan pilihan pertama setiap ibu bapa untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada kehidupan sebenar.

Itulah sifat Allah. Dia akan memberi ujian kepada orang yang Dia suka. Jika lulus ujian tersebut, maka darjatnya akan ditingkatkan lagi.

Setelah kita mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan sepanjang tahun ini, kini tibalah masanya anak-anak PASTI negeri Kedah akan menduduki peperiksaan akhir iaitu pada 13hb hingga 16hb Oktober 2008.

Peperiksaan ini akan memberikan penilaian bukan sahaja kepada anak-anak kita, tetapi juga kepada guru-guru yang mengajar. Inilah waktu yang mana para guru perlu mengambil kesempatan untuk muhasabah diri dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang tahun ini, sama ada kaedah yang dilaksanakan adalah sesuai atau kurang sesuai atau pun tidak sesuai.

Bagi guru-guru yang menghadirkan diri ke kursus-kursus yang disediakan oleh PASTI Negeri atau Pusat, dan mengamalkan ilmu yang dipelajari, maka sudah tentu bukan menjadi masalah kepada guru tersebut untuk mengajar bakal-bakal ulamak profesional ini, malah semakin lama mengajar semakin seronok dan bersemangat lagi untuk berjumpa dengan anak-anak ini.

Marilah kita bersama-sama tingkatkan kualiti kaedah pengajaran kita supaya kualiti anak-anak PASTI ini dapat dipertingkatkan seterusnya menjadi model kepada pusat-pusat asuhan pra sekolah yang lain dalam kaedah pengajaran dan pembelajarannya.

Akhir sekali marilah kita memberikan semangat dan berdoa, agar anak-anak kita dapat menjawab peperiksaan dengan baik, sebagai mana baiknya kita mendidik dan mengasuh mereka.

Dan ingatlah, lahirnya generasi yang bertaqwa, kitalah pemangkinnya.

Tuesday, September 2, 2008

SUKANEKA EKSPO RAKYAT SEJAHTERA

Setinggi2 tahniah diucapkan kepada Majlis Guru Pasti Kubang Pasu dengan kerjasama Dewan Muslimat Kubang Pasu diatas kejayaan menganjurkan sukaneka bersempena Ekspo Rakyat Sejahtera yang telah berlangsung pada 28hb, 29hb dan 30hb Ogos 2008 yang lalu.


Majlis sukaneka yang dijalankan pada sebelah pagi pada 30hb Ogos telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh penduduk tidak mengira bangsa dan agama.




Majlis tersebut telah berlangsung seawal 8.30 pagi dan tamat pada jam 1.00 tengahari itu telah menunjukkan kejayaan, keazaman dan kesungguhan guru-guru PASTI kawasan Kubang Pasu dalam menjayakan misi yang telah diamanahkan oleh jawatankuasa Memperkasakan PAS Kubang Pasu (PERKASA).




Antara acara yang dijalankan adalah seperti pertandingan mengisi air dalam botol dengan span, bawa bola ping pong dengan sudu dan tiup belon sampai pecah. Aturcara pada pagi tersebut ditamatkan dengan dua acara yang berjalan serentak iaitu pertandingan mewarna bagi kategori 7 hingga 9 tahun dan pertandingan melukis bagi kanak-kanak 10 hingga 12 tahun.

Tahniah sekali lagi buat semua guru-guru PASTI Kawasan Kubang Pasu dalam menjayakan aturcara yang telah dirancangkan dengan jayanya.