Tuesday, October 19, 2010

INSYAALLAH AKAN DIBUKA 2011

InsyaAllah 4 buah PASTI (baru dan pembukaan semula) akan dibuka pada tahun 2011 di :

1. PASTI Uwais Al-Qarni, Taman Tunku Sarina, Jitra
2. PASTI Fadzil Noor, Kg Kubang Betung, Napoh
3. PASTI Al-Irsyad, Kg Baru, Changlun
4. PASTI Teluk Gelam

Ini adalah atas permintaan dan kesungguhan masyarakat setempat juga jawatankuasa yang sayangkan PASTI dan melihat PASTI sebagai satu wadah perjuangan bagi membentuk akhlak dan peribadi muslim di kalangan generasi cilik yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Kepada sesiapa yang ingin menyumbangkan dana bagi membantu pihak pengurusan PASTI Kawasan Kubang Pasu, bolehlah disalurkan ke akaun

PASTI KAWASAN KUBANG PASU
BIMB: 02-039-01-005504-3

Ataupun kepada sesiapa yang ingin menyumbangkan kemudahan seperti kerusi meja, almari, papan putih, cat, keperluan kebersihan (penyapu, sabun, berus dsb), bolehlah menghubungi terus kepada talian 017-750 3536.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Tahun kepada semua anak-anak PASTI seluruh Malaysia, khasnya kepada anak-anak PASTI Kawasan Kubang Pasu. Semoga ilmu yang telah dicurahkan oleh guru selama ini dapat memberi panduan hidup ke arah jalan yang lurus di dunia untuk memperolehi redha Allah dunia dan akhirat.

Terima kasih kepada semua guru yang telah manabur bakti dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab demi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, bahkan cemerlang dari segi sakhsiah dan akhlak dan agama.

InsyaAllah, pelajar yang mendapat tempat pertama di setiap PASTI akan menduduki peperiksaan Pemilihan Anugerah Pelajar Cemerlang di peringkat kawasan dan seterusnya berkelayakan untuk ke peringkat negeri.

Saturday, July 24, 2010

KURSUS KOMPUTER UNTUK GURU PASTI

Guru-guru PASTI Kawasan Kubang Pasu telah menghadiri Kursus Asas Microsoft Word dan Internet pada 23 dan 24 Julai 2010 bertempat di Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Jitra Kedah. Pendedahan IT ini penting kepada guru-guru supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi.



Seramai 16 orang guru pasti Kawasan Kubang Pasu termasuk beberapa orang guru KAFA telah berjaya menamatkan kursus ini dengan cemerlang.



Mereka telah didedahkan dengan kaedah-kaedah menggunakan Microsoft Office dan Internet termasuklah penggunaan email yang akan dapat memudahkan proses penyebaran maklumat di kalangan PASTI di Kawasan Kubang Pasu.





Peserta lelaki tunggal...

Semoga kursus ini akan dimanfaat dan diaplikasikan dalam kehidupan harian sebagai seorang yang bergelar pendidik. Pihak Pasti Kubang Pasu bercadang akan menghantar guru-guru ke kursus tahap lanjutan di lain masa.

Terima kasih diucapkan kepada semua guru yang telah mengorbankan masa dan kepada pihak Kolej Komuniti Bandar Darulaman dalam menjayakan kursus ini.

Wednesday, May 19, 2010

KENAPA PASTI JADI PILIHAN?


PASTI ialah institusi pendidikan yang ditubuhkan sebagai pilihan kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam. Walaupun ia adalah pendidikan pra sekolah, PASTI tetap memainkan peranan yang penting dalam memberi alternatif pendidikan Islam kepada masyarakat. Visi PASTI cukup jelas iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh. Kurikulum PASTI dibangunkan untuk mencapai matlamat 5M iaitu membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamalkan ilmu yang dipelajari.

Pendidikan sejak di awal usia adalah penting, bagi memantapkan keimanan .Terdapat sesetengah penyokong jemaah Islam yang mengambil sikap mudah, tidak peduli di mana anaknya belajar, dengan siapa dia belajar kerana merasakan anaknya masih kecil. Nanti apabila besar akan diasuh dengan pendidikan Islam. Betulkah begitu? Bukankah kita diajar mengazankan apabila bayi dilahirkan, supaya kalimah pertama yang didengar ialah kalimah tauhid. Apakah maknanya ini semua, kalau bukan pentingnya mendidik seawal usia. Barangkali juga kita lupa, Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa anak seumpama kain putih maka ibubapanyalah yang mencorakkan samaada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Maka sepatutnya PASTI menjadi pilihan mandatori terhadap pendidikan pra sekolah anak-anak kita.

PASTI menetapkan Islam sebagai manhaj pendidikanya. Untuk mencapai matlamat pendidikan Islam iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh maka tiada pilihan lain selain daripada kurikulium Islam yang syumul. Tadika yang tidak mengambil manhaj Islam sebagai teras pendidikan tidak mampu membentuk anak yang beriman dan soleh kerana dasarnya bukan Islam. Mana mungkin sistem pendididkan yang lain daripada Islam akan membentuk peribadi Muslim yang beriman dan bertaqwa.

Hanya para pendiddik yang beriman dan beramal soleh akan melahirkan pelajar yang beriman dan beramal soleh. PASTI mempunyai guru – guru yang sememangnya sentiasa di bentuk melalui tarbiyyah jamaah seperti usrah, tamrin dan majlis-majlis ilmu bagi memantapkan ilmu, iman dan amal murabbi sendiri.. Di tangan merekalah, anak -anak kita diasuh. Guru yang tidak memahami Islam tidak dapat menjadikan anak- anak kita sebagai orang yang bertaqwa. Maka di atas alasan apakah kita menghantar anak-anak kita kepada mereka yang jahil hakikat tasawur Islam bahkan menentang perjuangan Islam.

Kesungguhan dan keikhlasan guru PASTI dalam mendidik menjadi satu aset yang besar kepada jemaah. Kecintaan mereka kepada perjuangan Islam sepatutnya sudah cukup bagi kita untuk menghantar anak-anak ke PASTI. Sungguh menghairankan , kita bersungguh –sungguh berjuang untuk menegakkan Islam tetapi pada masa yang sama membiarkan anak-anak kita dibentuk oleh orang lain , bahkan diajar oleh guru-guru yang menentang hukum Allah dan Rasul. Dimanakah rasionalnya kita? PASTI sentiasa mengadakan kursus –kursus profesionalisma perguruan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Cabaran pendidikan yang sentiasa berubah dan mencabar, didepani oleh PASTI dengan sewajarnya.

Masyarakat hari ini menghadapi cabaran kebendaan yang hebat. Setiap hari media massa menonjolkan gaya hidup yang mewah. Pemikiran umat Islam sentiasa diasak dengan kemajuan pembangunan kebendaan .Lantaran itu mungkin ada sebahagian daripada kita lebih mementingkan RM 300.00 setahun daripada pendiddikan Islam anak-anak kita. Ada sesetengah orang sanggup meninggalkan masjid dan surau yang selama ini hatinya tertambat , kerana diugut tidak akan diberi wang ihsan . Ada pula yang sanggup menjadi jahil sepanjang tahun dengan meninggalkan majlis-majlis ilmu yang selama ini ia menjadi murid setia. Kalaulah ini berlaku, di manakah nilai iman kita . Apa yang akan kita jawab dan persembahkan di hadapan Allah di akhirat nanti.?

Kita mesti menyatakan iltizam kepada jamaah melalui tindakan . Setiap program yang disusun oleh jemaah semestinya didukung dengan penuh rasa tanggungjawab. Rasa kecintaan kepada kepada jamaah dan institusi milik jemaah (masjid, surau, markaz, kelas pengajian) mestilah sentiasa disuburkan supaya terus segar. Kita perlu menanam keyakinan bahawa jamaah adalah milik kita.

Takbirr !!

Monday, May 17, 2010

HAPPY TEACHERS DAY


Sempena dengan Hari Guru 2010, PASTI Kawasan Kbg Pasu mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik, khasnya guru PASTI. Sebagaimana kita maklum, guru merupakan insan mulia, pencetus kejayaan umat serta pembina tamadun manusia yang berjaya. Kejayaan kita semua pada hari ini bermula dengan didikan guru yang sabar, tekun, ikhlas dan jujur mendidik anak bangsanya.

Tanpa guru, tidak mungkin negara dan rakyat mampu bergerak maju. Sememangnya kerjaya sebagai guru adalah sangat mulia dan mencabar. Meskipun berdepan dengan pelbagai kerenah dan tingkah laku pelajar yang pelbagai, ditambah dengan tekanan ibu bapa serta masyarakat sekeliling, para guru terus menuai bakti dan mencurah ilmu tanpa jemu. Sama ada mereka diingati atau dilupakan, setiap tahun tanpa kita sedari, para guru telah melahirkan orang-orang yang hebat seperti ulama’, tokoh akademik, para profesional, teknokrat, usahawan, tenaga-tenaga pakar mahir dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya sumbangan para pendidik yang bergelar guru tidak boleh dilupakan. Keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran mereka wajar diberikan pengiktirafan. Suara dan pandangan mereka perlu perlu dihormati, rungutan dan permintaan mereka perlu didengari, permasalahan mereka perlu diperhati. Inilah tanda penghomatan kita semua terhadap jasa dan pengorbanan para pendidik.

Akhir sekali, PASTI Kawasan Kbg Pasu mengharapkan para pendidik terus istiqomah, sabar dan jujur dengan dunia pendidikan. Dunia pendidikan adalah satu perjuangan dan jihad yang besar serta mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah SWT, dan hanya guru mampu mempelopori medan ini. Hari Guru perlu diraikan dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa para guru adalah insan mulia yang wajar dihormati.

Selamat Hari Guru Buat Semua Guru-Guru PASTI.