Wednesday, November 5, 2008

PENDAFTARAN MURID BARU TELAH DIBUKA

Pendaftaran murid baru PASTI telah dibuka. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia 4, 5 atau 6 tahun pada 2009 bolehlah hubungi mana-mana PASTI yang berhampiran untuk mendaftarkan anak tuan/puan dengan segera.

Untuk makluman semua, kami telah mendengar beberapa pengalaman waris yang pada awalnya menghantar anak mereka untuk belajar di PASTI selama setahun, dan tahun kemudiannya mereka menghantar anak mereka di sekolah pra sekolah. Ternyata selepas itu mereka menyatakan bahawa memang terdapat perbezaan dari segi perkembangan mental mereka. Waris tersebut telah menyatakan kesan pembelajaran di PASTI amat berkesan dengan bacaan, hafazan doa dan surah, kiraan, bahasa arab, akhlak, ibadah dan sebagainya.




jangan ketinggalan. Fikirlah... demi masa depan anak kita, keturunan kita, bangsa kita, negara kita dan sudah pasti lah demi menjaga kesucian agama Islam yang kita cintai ini...

Tidak semestinya kita perlu keluarkan modal yang lebih untuk mendapat sesuatu yang lebih berkualiti.

Wednesday, October 22, 2008

MAJLIS UJIBAKAT PASTI

Tahniah kepada semua guru yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program majlis Ujibakat PASTI peringkat negeri Kedah yang telah berlangsung pada 18 Oktober 2008 di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Alor Star.

Terdapat beberapa acara yang telah dipertandingkan. Antaranya adalah pertandingan azan dan doa, pertandingan pidato, sajak, khutbah, bercerita kisah al-quran, hafazan surah dan doa harian.

PASTI Kawasan Kubang Pasu hanya menghantar wakil bagi acara seperti berikut:

1. Azan - Mohd Anuar bin Saidin
2. Sajak - Maisarah binti Mohd Fazil
3. Cerita kisah dari Al-Quran - Shawrah Nabihah binti Ali
4. Pidato - Nurul Rosniza binti Che Asmadi
5. Hafazan Surah - Ku Mariyam binti Ku Abdul Hamid

Tahniah diucapkan kepada guru-guru dan murid-murid PASTI yang telah memberikan komitmen dan kerjasama.

Bersedialah pula untuk menghadapi Majlis Ujibakat PASTI peringkat Pusat di Sri Mentalun pada 31 okt hingga 1 nov 2008.

Sunday, October 12, 2008

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAN AKHIR

alhamdulillah.. bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah mengizinkan kita menghirup udara-Nya yang nyaman tanpa sebarang bayaran dikenakan.

Sepanjang tahun ini, kita telah diuji dengan pelbagai dugaan dan cubaan. Dan akhirnya ternyata kita tabah menghadapinya dan mengharunginya sehingga akhir tahun tanpa rungutan dan keluhan. Ini lah dia satu perjuangan seorang guru yang sanggup menerima tekanan dari pelbagai pihak, sama ada dalam atau luaran, demi untuk membuktikan yang pendidikan Islam inilah perlu dijadikan pilihan pertama setiap ibu bapa untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada kehidupan sebenar.

Itulah sifat Allah. Dia akan memberi ujian kepada orang yang Dia suka. Jika lulus ujian tersebut, maka darjatnya akan ditingkatkan lagi.

Setelah kita mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan sepanjang tahun ini, kini tibalah masanya anak-anak PASTI negeri Kedah akan menduduki peperiksaan akhir iaitu pada 13hb hingga 16hb Oktober 2008.

Peperiksaan ini akan memberikan penilaian bukan sahaja kepada anak-anak kita, tetapi juga kepada guru-guru yang mengajar. Inilah waktu yang mana para guru perlu mengambil kesempatan untuk muhasabah diri dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang tahun ini, sama ada kaedah yang dilaksanakan adalah sesuai atau kurang sesuai atau pun tidak sesuai.

Bagi guru-guru yang menghadirkan diri ke kursus-kursus yang disediakan oleh PASTI Negeri atau Pusat, dan mengamalkan ilmu yang dipelajari, maka sudah tentu bukan menjadi masalah kepada guru tersebut untuk mengajar bakal-bakal ulamak profesional ini, malah semakin lama mengajar semakin seronok dan bersemangat lagi untuk berjumpa dengan anak-anak ini.

Marilah kita bersama-sama tingkatkan kualiti kaedah pengajaran kita supaya kualiti anak-anak PASTI ini dapat dipertingkatkan seterusnya menjadi model kepada pusat-pusat asuhan pra sekolah yang lain dalam kaedah pengajaran dan pembelajarannya.

Akhir sekali marilah kita memberikan semangat dan berdoa, agar anak-anak kita dapat menjawab peperiksaan dengan baik, sebagai mana baiknya kita mendidik dan mengasuh mereka.

Dan ingatlah, lahirnya generasi yang bertaqwa, kitalah pemangkinnya.

Tuesday, September 2, 2008

SUKANEKA EKSPO RAKYAT SEJAHTERA

Setinggi2 tahniah diucapkan kepada Majlis Guru Pasti Kubang Pasu dengan kerjasama Dewan Muslimat Kubang Pasu diatas kejayaan menganjurkan sukaneka bersempena Ekspo Rakyat Sejahtera yang telah berlangsung pada 28hb, 29hb dan 30hb Ogos 2008 yang lalu.


Majlis sukaneka yang dijalankan pada sebelah pagi pada 30hb Ogos telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh penduduk tidak mengira bangsa dan agama.




Majlis tersebut telah berlangsung seawal 8.30 pagi dan tamat pada jam 1.00 tengahari itu telah menunjukkan kejayaan, keazaman dan kesungguhan guru-guru PASTI kawasan Kubang Pasu dalam menjayakan misi yang telah diamanahkan oleh jawatankuasa Memperkasakan PAS Kubang Pasu (PERKASA).




Antara acara yang dijalankan adalah seperti pertandingan mengisi air dalam botol dengan span, bawa bola ping pong dengan sudu dan tiup belon sampai pecah. Aturcara pada pagi tersebut ditamatkan dengan dua acara yang berjalan serentak iaitu pertandingan mewarna bagi kategori 7 hingga 9 tahun dan pertandingan melukis bagi kanak-kanak 10 hingga 12 tahun.

Tahniah sekali lagi buat semua guru-guru PASTI Kawasan Kubang Pasu dalam menjayakan aturcara yang telah dirancangkan dengan jayanya.

Wednesday, May 28, 2008

HARI GURU PASTI NEGERI KEDAH 2008


23hb Mei 2008, semua guru-guru PASTI seluruh negeri Kedah telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru PASTI peringkat negeri Kedah yang bertemakan "Guru Pendidik Sepanjang Zaman" yang telah diadakan di Dewan Seri Mentalun, kediaman rasmi Menteri Besar Kedah.

Majlis telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Abdullah Jusoh ( Exco Pendidikan Negeri Kedah ).

YB Abdullah Jusoh


Semua kawasan telah menghantarkan wakil yang terdiri dari guru-guru, pengerusi pasti kawasan, cawangan dan juga ajk-ajk pasti bagi menjayakan majlis tersebut.

Para hadirin sedang mendengar ucapan perasmian Exco Pendidikan Negeri Kedah

Majlis telah bermula jam 9.00 malam dan dimulakan dengan bacaan al-Quran (Surah Ar-Rahman) oleh adik Mohd Hafiz berumur 7 tahun. Beliau adalah bekas pelajar PASTI Mergong.
PASTI Kubang Pasu juga tidak ketinggalan menghantar guru-gurunya untuk mendengar amanat dari Pengarah PASTI Negeri dan juga Exco Pendidikan Negeri kedah pada malam tersebut. PASTI Kubang Pasu mengucapkan terima kasih kepada guru-guru PASTI Kawasan Kubang Pasu kerana memberikan komitmen untuk hadir sempena hari menghargai jasa guru ini.



Majlis malam tersebut juga diserikan dengan persembahan nasyid yang dibawakan khas dari Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU). Walaupun hanya 3 orang dari 10 orang ahlinya yang dapat hadir malam tersebut, ternyata mereka mampu menyampaikan persembahan yang sungguh mantap. Tahniah kami ucapkan.

Sebelum majlis berakhir, penyampaian anugerah tokoh guru telah disampaikan oleh YB Abdullah Jusoh. Calon tokoh guru dari Kubang Pasu adalah Pn Zamalati yang mengajar di PASTI Ihya Ulumuddin, Changlun. Beliau merupakan salah seorang guru yang telah lama berkhidmat mendidik anak-anak PASTI tanpa rasa jemu dan merupakan seorang yang sungguh penyabar dan tekun dalam melakukan segala tugas. Beliau juga merupakan Pengerusi MGP Kawasan Kubang Pasu.

Namun, Kubang Pasu dikatakan tiada rezeki pada tahun ini kerana tidak mendapat Tokoh Guru PASTI.
Majlis pada malam itu telah tamat jam 11 malam dengan sesi bergambar semua calon tokoh guru negeri kedah bersama para VIP.